Isnin, 21 Ogos 2017

Membangun Masyarakat Maju Dengan Teater
Oleh Dinsman

Berdasarkan diskusi mengenainya yang diadakan dalam satu pertemuan (ZKMUASB) yang dihadiri oleh penulis dan aktivis teater dari Malaysia dan Indonesia, sehari sesudah pementasan, kebanyakan mereka tertarik dengan usaha membawa teater ke tengah masyarakat, khasnya masyarakat kampung.

Kebanyakan komentar di dalam fesbuk pun menyatakan demikian. Mereka teruja dengan pementasan Teater di Sawah Padi (TdSP) UdaDanDara kerana pementasannya dibuat di dalam kampung, di tengah sawah, di tempat yang orang tak pernah fikir untuk membuat teater di situ.

Roslan Madun, seorang aktivis teater dan pejuang seni-budaya, yang menonton UdaDanDara pada malam latihan akhir 10 Ogos, menulis dalam fesbuk: “Dinsman telah membawa teater ke tengah-tengah masyarakat desa yang saya rasa ramai mereka tak pernah menonton teater, melainkan yang sudah biasa berulang alik ke Kuala Lumpur.”

Katanya lagi: “Di sini saya tidak bercakap tentang hebatnya UdaDanDara di tangan Dinsman, tapi tentang satu usaha murni membawa satu persembahan berjiwa rakyat (Uda Dan Dara ialah cerita rakyat) terus kepada rakyat. Saya fikir, pemipin politik pun tak buat kerja begini. Pemimpin politik pun tak masuk ke dalam jantung rakyat untuk berpidato.

“Namun Dinsman telah melakukan dengan jayanya. Dia tidak berpidato, tapi teaternya mewakili dirinya untuk menyatakan tentang kehidupan, tentang kemanusiaan, tentang berbagai contoh teladan, jahat dan baik melalui sebuah karya besar.”

Dan di dalam fesbuk juga ramai yang menyatakan harapan agar TdSP UdaDanDara dapat dipentaskan pula di tempat-tempat lain – di Kedah, di Pulau Pinang, di Johor, di Melaka. Saya jawab hanya satu: “Kalau ada pihak yang sanggup membiayainya, boleh saja.”

Ya, biayanya agak besar. Kalau kita tidak nampak kesannya yang positif dalam mengubah atau mempengaruhi minda masyarakat ke arah sesuatu kebaikan. Kalau kita tidak membandingkannya dengan lain-lain perbelanjaan yang lebih besar yang kita belanjakan pada perkara-perkara yang kurang berfaedah.

Menyaksikan kehadiran penonton yang menjangkau hampir dua ribu orang di malam pertama pementasan dan kira-kira seribu di malam kedua, terdiri dari orang-orang kampung sekitar dan juga peminat teater yang datang dari jauh (sejauh Perlis, P.Pinang dan Johor) dan ramai juga dari Kuala Lumpur dan Shah Alam, saya kira itu membuktikan bahawa teater itu penting dan diperlukan oleh masyarakat.

Mereka yang bukan dari kampung-kampung berdekatan itu sanggup merempuh perjalanan jauh, dengan memandu kereta dan ada yang naik-turun bas, masuk ke kawasan kampung dan turun ke sawah, mencari tempat menonton yang tanpa dewan berhawa dingin, tanpa bumbung berteduh kalau hujan, dan tanpa kerusi kecuali beberapa sahaja untuk yang tak mampu duduk bersila di atas tikar atau berdiri di sekeliling sawah – tentulah didorong ke situ oleh sebab-sebab yang membuktikan bahawa teater itu penting dan diperlukan.

Masalahnya ialah kesedaran. Usaha hendak membuat pementasan di sawah padi di Parit Dua Barat di Sungai Besar ini pun bukanlah suatu usaha yang mudah. Tanpa semangat kental beberapa orang pejuang seni-budaya yang sanggup bersusah-payah bersama meredah pelbagai cabaran dan halangan, takkan mungkin terjadi pementasan TdSP UDD pada 12 dan 13 Ogos itu.

Alhamdulillah, setelah ia diizinkan Allah terjadi seperti yang telah terjadi, maka banyaklah saya mendengar pernyataan-pernyataan kesedaran akan perlunya teater dibuat di kampung-kampung. Banyaklah juga cadangan dan saranan supaya TdSP UDD dibawa ke merata ceruk kampung di negara ini, agar lebih ramai orang kampung di seluruh negara dapat menikmati seni teater UDD dan mendapat kesan kebaikannya.

Maka soalan saya kini ialah: siapakah yang akan berusaha ke arah melaksanakan saranan, cadangan dan permintaan tersebut? Seperti saya tegaskan di atas tadi: masalahnya ialah kesedaran! Pihak yang sepatutnya bertanggungjawab mengeluarkan peruntukan bagi aktiviti seperti ini, iaitu pihak yang berkenaan di dalam kerajaan, hendaklah mempunyai kesedaran ini.

Teater bukan sekadar permainan anak muda untuk mengisi waktu lapang, dan bukan sekadar hiburan bagi orang-orang yang memerlukan hiburan. Teater mempunyai peranan yang berkesan dalam membangun masyarakat yang maju dan matang dan bertamadun tinggi.

Kesedaran ini perlu dibawa ke dalam kerajaan. Pengalaman saya beraktiviti teater selama kira-kira 50 tahun menunjukkan bahawa pihak di dalam kerajaan tidak ada kesedaran ini. Memang tidak ada.
Peruntukan yang diberikan kepada teater selama ini hanyalah atas dasar seni-budaya sebagai mengisi waktu lapang anak-anak muda, sebagai hiburan, dan bagi mengekalkan warisan tradisi. Tidak ada kesedaran dan pemikiran serta kewajaran bahawa teater mempunyai peranan berkesan dalam membangun masyarakat yang maju, matang dan bertamadun tinggi, iaitu yang terkandung di dalam gagasan dan falsafah Tekad Budaya. (Juga di dalam Deklarasi Kuala Kangsar)

Alhamdulilah saya menyaksikan sebahagian mereka yang hadir menonton TdSP UDD mempunyai kesedaran Tekad Budaya yang saya maksudkan itu; khasnya mereka yang membuat cadangan agar TdSP UDD dibawa untuk dipentaskan di beberapa tempat lagi, untuk memberi peluang lebih ramai rakyat Malaysia dapat menontonnya.

Maka saya sangat berharap agar kawan-kawan yang mempunyai kesedaran itu tidak hanya duduk diam sahaja dan mengharapkan orang lain berusaha bagi membangunkan seni-budaya kita. Marilah kita sama-sama berganding bahu berusaha.

Kesedaran Tekad Budaya perlu dibawa masuk ke dalam kerjaan, melalui pelbagai saluran yang dapat diakses oleh masing-masing kita. Tan Sri Nordin Kardi Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar misalnya, telah menganjurkan pertemuan dan seminar yang kemudiannya melahirkan Deklarasi Kuala Kangsar, bagi menyebarkan kesedaran Tekad Budaya.

Kembali kepada pementasan ulangan TdSP UDD di beberapa tempat seperti yang dicadangkan, saya serahkannya kepada usaha bersama kita, bagi merealisasikannya.

Memang ada orang sedang mengusahakannya untuk dibawa ke Johor dan ke Kedah, disamping ada permintaan (dan peruntukan) untuk ia dipentaskan pula di Kuala Lumpur. Namun permintaan ke Kuala Lumpur itu agak sedikit memeningkan kepala saya. Mana ada sawah padi di Kuala Lumpur? Dan kalau tak ada sawah padi, bagaimana mementaskan TdSP UDD?

Walau bagaimanapun, saya mengharapkan usaha ini akan mencapai kejayaan. Mari kita bangunkan masyarakat Malaysia yang maju, matang dan bertamadun tinggi, dengan teater!



















Isu Memali kenapa Tuan Ibrahim beriya cadangkan tubuh RIC?
Oleh Mohd Sayuti Omar

Kalau dilihat secara literal cadangan Tuan Ibrahim Tuan Man agar ditubuhkan siasatan di raja (RCI) untuk siasat tragedi Memali wajar untuk menghuraikan sesuatu yang kabur dan belum tuntas di kepala rakyat. RCI itu bagai mana pun tidak menjamin isu seperti Memali itu tidak akan timbul dan terus dijadikan modal politik golongan terdesak selagi ada politik ala Malaysia.

Tetapi dari sudut lain ia boleh diterjemahkan dan membawa berbagai erti lain di sebalik cadangan pemangku presiden Pas itu. Kita tahu RCI akan mendedahkan apa-apa yang tersembunyi dan menjadi misteri selama ini. Walaupun matlamat agar ditubuhkan RCI itu untuk mengenakan Dr Mahathir Mohamad yang dianggap terlibat dengan tragedi itu ia memberi beberapa implikasi politik kepada pihak lain juga.

Kalau RCI ditubuhkan siasatannya bukan sahaja di sekitar diri Dr Mahathir Mohamad yang menjadi PM ketika itu, tetapi ia juga bersabit dengan Musa Hitam yang menjadi Menteri Dalam Negeri dan juga Ketua Polis negara. Musa bertanggungjawab terhadap polis. Tragedi yang meragut 14 nyawa dan dua nyawa anggota polis itu membabitkan pasukan PDRM.

Sudah pasti RCI itu akan melumatkan hal kejadian itu. Persoalan mengenai Dr Mahathir berkaitan isu Memali ialah sama ada ketika kejadian itu beliau berada di Malaysia atau di China? Ini timbul apabila Musa Hitam dalam satu forum di Kota Bharu, menjelaskan Dr Mahathir berada dalam negara ketika itu. Jawaban dan pendedahan Musa itu sebagai menebus dosanya yang dibabitkan dengan peristiwa berdarah itu kesekian lama sehingga memberi kesan jiwa besar kepadanya.

Musa tidak menjelaskan apakah Dr Mahathir terlibat dengan targedi itu dengan mengarahkannya agar minta Polis bertindak? Bukankah polis tertakluk langsung dibawah arahan Menteri Dalam Negeri?
Sebenarnya pembabitan atau tanggungjawab Dr Mahathir mungkin separuh sahaja, manakala separuh lagi tertanggung atas Musa Hitam juga. Tidak mengapa, bila ditubuh siasatan di Raja (RCI) nanti kita akan tahu apa sebenarnya yang berlaku. Siasatan jujur tidak bermotifkan politik akan mendedahkan kebenaran yang haq.

Bila ditubuhkan RCI perkara lain yang juga akan turut sama disiasat dan digali ini termasuklah "Amanat Haji Hadi" yang dikatakan menjadi perangsang kepada berlakunya sikap keras dan agresif Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya dan pengikutnya itu. Semasa pembentangan Kertas Putih di parlimen Amanat Haji Hadi ada disebut sebagai salah satu penyebabanya. Amanat itu mempengaruhi Ibrahim Libya mempercaya tindakannya syahid. Bermakna presiden Pas itu juga tidak boleh melarikan diri dari ikut sama dipanggil dalam siasatan itu nanti.

Jadi apakah apabila Tuan Ibrahim beriya-iya mencadangkan RCI ditubuhkan bermakna beliau mahu sucikan Pas dengan kejadian itu yang mana secara tidak langsung membabitkn Hadi Hadi dan Ibrahim Libya. Ibrahim Libya adalah ahli Pas. Atau apakah Tuan Ibrahim ada agenda lain maka beliau melihat tragedi Memali lebih penting dari skandal 1MDB. Benar juga apabila Mohamad Sabu mempersoalkan sepatut desakan agar ditubuhkan RCI mengenai 1MDB bukan Memali.

Lantaran itu tindakan Tuan Ibrahim mengemukakan cadangan itu mungkin mempunyai motif politik. Mungkin beliau juga tidak berpuas hati dengan sikap membisu Abdul Hadi mengenai tragedi Memali itu. Mungkinkah begitu? Benar kata Husam Musa bahawa Abdul Hadi juga perlu bertanggungjawab terhadap tragedi itu kerana Amanatnya dikaitkan sama.

Kata Husam sehingga kini Abdul Hadi tidak menjelaskan sejauh mana Amanatnya itu mempengaruhi Ibrahim Libya dan pengikutnya. Sikap Abdul Hadi itu menyebabkan orang tidak akan percaya kepada apa-apa Amanatnya selepas ini.

Bagi saya isu Memali akan selesai tanpa ada RCI dan ia tidak perlu membuang banyak wang rakyat, kalau Dr Mahathir Mohamad dan Haji Hadi sedia tampil bersama untuk membuat penjelasan atau pengakuan bersama. Kerana kedua mereka dilihat mempunyai tanggungjawab dan akses langsung kepada tragedi malang yang sudah berlalu hampir 30 tahun lalu. Walahu'alam.









Bukan cek kosong buat Mahathir
Oleh Ahmad Lutfi Othman 

Saya terpaksa berehat panjang selama lebih tiga bulan, kira-kira 100 hari, bermula sebelum Ramadan lalu. Biarpun tahap kesihatan sepanjang sebulan puasa dilihat agak meningkat dan diakui sendiri jururawat di pusat dialisis MAIS Taman Melewati namun ada gangguan lain yang menghalang aktiviti menulis dan membaca.

Lama sebelum itu, pena saya tergantung lebih dua tahun, semasa saya masih berkhidmat untuk akhbar Harakah. Rutin mingguan tertumpu untuk merawat penyakit dan menyeseuaikan diri dengan keadaan serba kekurangan.

Tambah memenatkan, 'kegiatan berfikir' juga terbantut; terasa berdenyut kepala dan mata berpinar apabila cuba merenung dan mendalami. Justeru, saya lebih gemar mendengar audio daripada menekuni bahan bacaan, apatah lagi kualiti penglihatan sering terjejas. Pastinya kaedah tersebut amat terbatas dan tidak senikmat membaca abjad di atas lembaran kertas.

Ada rakan-rakan yang menawarkan bantuan untuk merakamkan pandangan saya, antaranya wartawan Arif Atan, kemudian ditranskrip, tetapi saya rimas dengan kaedah itu. Idea saya terasa tersekat-sekat jika diluahkan melalui lisan.

Biarlah ... mungkin ada aktiviti lebih sesuai dalam waktu sukar begini. Mungkin juga untuk lebih mengenai diri dan Khaliq. Hikmah sentiasa tersembunyi pada setiap jalur takdir yang merentasi.

Sebenarnya saya cuba mententeramkan hati sendiri di tengah pergolakan politik semasa yang kian kalut dan membingungkan. Meskipun jarang mengikutinya tetapi tempias bahang yang panas terasa lekit.

Agak lama juga kehilangan nikmat menghidu aroma lembaran buku baru. Masih belum terusik naskhah menimbun yang diborong dari toko buku lebih setahun lalu. Jarang benar dapat bersantai dengan lembaran akhbar di pagi hari sambil mencicip kopi pahit. Jam 8 malam berlalu tanpa terasa mahu ikuti perkembangan di kaca TV.

Saya cuba untuk sentiasa belajar menerima dengan reda perjalanan takdir yang sebenarnya indah dan tersusun cantik itu. Hadapi dan terima apa sahaja ketentuan-Nya. Ramai teman kerap mengingatkan agar terus berdoa dan mohon bantuan kepada Allah agar jiwa rasa tenang serta ikhlas. Tentunya tidak mudah, 'kan? Namun ia gumpulan pengalaman kerohanian yang mengasyikkan.

Muktamar PAS 2017

Senario politik tambah warna-warni gemerlapannya dengan kehadiran proaktif Dr Mahathir Mohamad bersama gabungan mega pembangkang. Penubuhan Pakatan Harapan dengan hiraki barisan kepemimpinannya yang diumumkan Julai lalu menyuntik rasa yakin rakyat untuk menyokong perubahan. Sebelum ini idea dan gagasan perubahan mudah dibantutkan dengan seribu satu persepsi palsu yang ditanam strategis elit penguasa.

Diteliti urutan sejarah, penubuhan Pakatan Harapan adalah proses penambahbaikan yang berterusan sejak Harakah Keadilan Rakyat (1986), Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat (1990), Barisan Alternatif (1999) dan Pakatan Rakyat (2008). Nampak peningkatannya dari satu tahap ke satu marhalah. Sayang sekali, Pas sebagai penggerak utama atau pelopor persefahaman barisan oposisi sebelum ini telah tercicir di belakang.

Dalam imiginasi mudah, sekiranya Pas kekal bersama pembangkang yang lain, dengan kekalutan parah dalam Umno dan perpecahan serius di bawah kleptokrat Najib Razak, Putrajaya nampak agak senang untuk diambil alih. Tetapi, begitulah kelaziman putaran roda politik, segalanya tidak mesti menurut impian dan khalayak. Siasah seringkali menuntut iltizam, keberanian dan kebijaksanaan yang jitu, juga kesediaan menanggung risiko yang bukan kepalang.

Secara peribadi, saya sukar memahami silat politik Pas, khususnya sejak memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP pada 2015. (Perwakilan muktamar tidak diizinkan untuk berbahas agenda penting itu, sebaliknya usul diluluskan atas kehendak dua tiga kerat pimpinan tertinggi).Lebih mengelirukan apabila ditamatkan hubungan dengan PKR dua tahun berikutnya dengan alasan yang dicari.

Tambah aneh, unjuran daripada itu, perkongsian kuasa bersama DAP dan PKR dalam kerajaan negeri Selangor, tetap kekal. Ya, wakil Pas masih mampu bersekongkol dengan parti yang dianggap anti-Islam dan mengkhianati agenda perjuangan Islam. Bagi pemerhati, situasi sedemikian sebenarnya menjadi bukti persefahaman politik ketiga-tiga parti tetap relevan dan boleh berjalan baik.

Garis pemikiran dan sifir perkiraan pemimpin Parti Islam itu nampak "berpusing-pusing dan berbelit-belit". Sekurang-kurangnya itulah yang saya dapat rasakan. Rasional mereka payah untuk ditelah walaupun berpengalaman luas dalam sepak-terajang politik tanahair. Ya, parti mana yang dapat menandingi eksperimen sehebatnya, namun mendekati destinasi Pas seakan-akan kehilangan arah dan tidak dapat menentukan prioriti keutamaannya.

Berulang kali Pas menafikan kemungkinan ia bakal mengadakan kerjasama tidak formal dengan BN dalam PRU14, tetapi pemerhati politik tetap melihatnya sebagai parti yang mesra-Umno. Gerak politik tidak semestinya diumumkan secara rasmi; terkilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya
.
Berbicara soal kerjasama Pas dengan Pakatan Harapan, pelbagai daleh dikemukakan; semuanya terarah kepada kesimpulan bahawa mustahil menjalin hubungan selagi ada DAP dan Parti Amanah Negara. Pas juga tidak bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah. Ya, sudah pasti parti yang tiada kaitan dengan DAP dan Amanah hanyalah Umno-BN! Pemimpin Pas juga berulangkali menegaskan syarat ketat seperti keperluan pihak lain mengiktiraf Pas sebagai pemimpin; suatu kondisi yang menyerlahkan keangkuhan, sekali gus mempamerkan aksi songsang dalam berdiplomasi.

Ada pemimpin tertingginya yang menimbulkan peranan baru Pas sebagai "king maker" selepas pilihan raya nanti, iaitu penentu kepada pembentukan kerajaan yang didukung BN ataupun Pakatan Harapan. Tafsiran negatif segera dibuat bahawa Pas hanya mahu menjadikan undi rakyat sebagai komoditi yang diperdagangkan untuk kepentingan parti itu.

Dalam amalan mendekati sistem dua gabungan parti, sukar untuk membayangkan ada ruang untuk parti yang bersendirian, apatah lagi dalam keadaan parti pemerintah diserkup pelbagai skandal dan penyelewngan yang maha dahsyat. Apakah Pas masih boleh berkompromi dengan segala kejahatan Najib-BN itu sehingga ia membayangkan masih bersedia untuk membentuk kerajaan selepas PRU14 nanti? Saya kira rakyat tidak akan membazirkan undi mereka dalam suasana amat genting dan kritikal ini; khususnya ketika potensi membentuk kerajaan baru terbentang luas.

Mahathir MohamadFaktor Mahathir juga bukan bagai lampu aladin untuk menyelesaikan segala kemelut negara. Politik kepembangkangan kita turut menerima impak positif, bermula faktor Tengku Razaleigh Hamzah lagi, dalam pemilihan Umno April 1987, seterusnya faktor Anwar Ibrahim dalam era Reformasi (1998). Mahathir pastinya tidak bermula daripada kosong; beliau sekadar mahu "menyempurnakannya", dengan sokongan berterusan tanpa lelah oleh gerakan pembangkang tradisi.

Malah, sebenarnya jika Pakatan Harapan yang dipengerusikan Mahathir berjaya sekalipun, ia bukan penamat cerita panjang ini. Pakatan Harapan berbeda sama sekali dengan Umno-BN yang diterajui Mahathir selama 22 tahun dahulu. Dengan kombinasi empat parti yang dijangka hampir seimbang kekuatannya, didahului oleh komitmen reformasi institusi dan tekad pembaharuan asas yang mementingkan kesejahteraan rakyat, maka pembolotan kuasa dan gaya autokrat akan dapat dielakkan.

Mungkin ada yang berpandangan sinis terhadap "Mahathir yang baru", namun saya lebih percaya kepada faktor "semak dan imbang" dalam Pakatan Harapan. Ya, mungkin sukar untuk ditolak persepsi negatif terhadap bekas pemimpin-pemimpin Umno yang kini bersama Bersatu, namun bagaimana dengan tiga parti komponen PH yang mengakar dengan idea reformasi, iaitu Amanah, PKR dan DAP, serta segar dengan cadangan pembaharuan? Dan jangan lupa, faktor penyokong atau pengikut yang kritikal dan tidak mudah untuk mengaminkan saja kehendak elit atasan?

Saya cuba menghuraikan faktor Mahathir ini dalam tulisan berikutnya nanti. Kini Mahathir dianggap seteru utama oleh Najib dan juak-juaknya. Justeru, segala potensi dan aset ditumpukan untuk menghancur-lumatkan musuh no. 1 itu. Maka rekod lama Mahathir selama 22 tahun menjadi perdana menteri, yang pastinya tersimpan pelbagai kesalahan dan kebobrokan akan dilondeh. Tragedi berdarah Memali hanyalah secebis kecil yang menjadi umpan untuk mengepun undi penyokong Pas.

Di atas segalanya, saya tertarik dengan slogan kempen Rafizi Ramli: "Jom Bina Semula Negara!" Proses partisipasi politik harus lebih meluas dan menyeluruh, bukan sekadar untuk tempoh singkat musim pilihan raya. Usah beri cek kosong kepada pemimpin politik kerana kita semua bertanggungjawab untuk membangunkan semula negara yang hampir hancur ini.
Menunggu saat ‘feel-good’ untuk umum PRU
Oleh Timmy Say 

Barisan Nasional (BN) masih menunggu masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum ke 14, dan ini boleh dilihat melalui “resipi” kemenangan di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara resipi wajib ada yang menjamin kejayaan BN ketika di zaman Dr Mahathir ialah persempadanan semula, perpecahan pembangkang dan faktor “feel good” di kalangan rakyat.

Namun, ketiga-tiga resipi kini semakin tergelincir daripada tangan BN sejak pentadbiran Tun Abdullah Badawi.

Tanpa ketiga-ketiga resipi ini, BN kehilangan 2/3 majoriti di Parlimen pada 2008 dan tewas undi popular di 2013.

BN terus menghadapi PRU14 tanpa ketiga-tiga resipi ini, sudah tentunya keseluruhan kepimpinan BN akan terasa gelisah.

Oleh itu, dalam menghadapi PRU14, BN berusaha keras cuba mendapatkan kembali ketiga-tiga resipi ini. Namun setakat ini, ia belum berjaya.

Resipi pertama iaitu persempadanan semula, kini terhalang. Ini ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan Selangor untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan laporan persempadanan semula kepada perdana menteri.

Resipi kedua iaitu di mana BN mengharapkan pembangkang yang berpecah menemui cabaran baharu ekoran munculnya Dr Mahathir yang diangkat sebagai pengerusi Pakatan Harapan.
Resipi yang tinggal

Memandangkan resipi pertama dan kedua semakin susah dikembalikan, BN kini terpaksa mengharapkan resipi ketiga sahaja iaitu menjana perasaan “feel-good” di kalangan rakyat terhadap kerajaan.

Antara usaha yang jelas ke arah menyediakan resipi ketiga ini ialah tindakan perdana menteri mengumumkan ganjaran melebihi RM1 bilion kepada para peneroka Felda dan juga insentif kepada tentera, terutama kepada tak berpencen dan yang tergolong dalam kumpulan B40 baru-baru ini.

Di sebalik serangan pembangkang yang menyatakan bahawa Malaysia sedang menuju ke arah negara gagal, Gabenor Bank Negara Datuk Seri Muhammad Ibrahim mengumumkan ekonomi negara tumbuh melebihi jangkaan iaitu pada 5.8% pada suku kedua tahun ini dan melebihi pertumbuhan suku pertama sebanyak 5.6%.

Cuma apakah berita positif ini mampu membantu BN menjana perasaan “feel-good” di kalangan rakyat yang boleh menutup perasaan negatif rakyat yang timbul daripada berita-berita buruk mengenai 1MDB dan kenaikan kos sara hidup?

Peluang Sukan SEA yang tercemar

Sepatutnya Sukan SEA menjadi satu acara yang dapat membantu menjana perasaan “feel-good” di kalangan rakyat.

Namun, nasib nampaknya tidak menyebelahi BN. Acara pembukaan Sukan SEA yang dirancang dengan sebegitu cemerlang sekali dicemarkan dengan berita kecuaian memaparkan bendera negara Indonesia secara terbalik dalam buku cenderamata Pembukaan Rasmi Sukan SEA 2017.

Belum perkara itu reda, timbul sekali lagi insiden bendera terbalik yang melibatkan negara Brunei di atas papan skor digital.

Kedua-dua kecuaian tersebut menyebabkan nama Malaysia tercemar di media sosial terutamanya Twitter, hatta hancurnya perasaan “feel-good” yang diharap dapat dijana melalui acara Sukan Sea.
Nampaknya resipi ketiga ini kini perlu menanti pengumuman Bajet 2018.

Mampukah Bajet 2018 menjana perasaan “feel-good” yang diharapkan BN untuk menghadapi PRU14?

Apakah Bajet 2018 akan memperlihatkan kadar GST dipotong, kadar BR1M dinaikkan dan juga bajet kementerian dipulihkan sementara bajet pembangunan dikurangkan untuk menampung segala perbelanjaan dan janji pilihan raya?

Sekiranya Bajet 2018 gagal menjana perasaan “feel-good” yang diharapkan, apakah BN akan melihat semula apakah cara untuk mendapatkan resipi satu dan kedua semula sebelum mengadakan PRU14?

Sebenarnya, BN mempunyai masa hampir setahun lagi untuk mencari sekurang-kurangnya satu resipi ini sebelum PRU14. Banyak perkara lagi yang boleh terjadi dalam masa setahun ini.

Ataupun BN akan mengambil risiko menghadapi PRU14 tanpa ketiga-tiga resipi ini sepertimana yang berlaku di 2008 dan 2013, dan bersedia menanggung akibatnya?

Semua ini bergantung kepada tahap kecemasan dan kegelisahan di dalam BN. Yang cemas akan lemas, yang tenang akan menang.























Ku Li tetap yakin BN akan kekal memerintah
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah meletakkan keyakinan bahawa BN yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan terus kekal memerintah dan mendapat sokongan rakyat di sebalik asakan demi asakan oleh pembangkang.

Katanya, semangat kerjasama dan strategi yang ditonjolkan seluruh jentera parti akan memastikan kemenangan tetap milik BN.

“Saya meletakkan keyakinan BN akan terus kekal memerintah dan mendapat sokongan rakyat pada pilihan raya nanti,” katanya yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia.

Malah, katanya, tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan menyerang kerajaan tidak akan berjaya tetapi sebaliknya hanya akan memakan dirinya sendiri.

“Kita akui Dr Mahathir sudah berada dalam senario politik negara begitu lama dan beliau memang berjasa dengan apa yang dilakukan.

“Tetapi kalau beliau ungkit benda-benda yang kadangkala tidak ada penjelasan dan jawapan, kita memang mempersoalkannya juga,” katanya.

Tengku Razaleigh yang juga adalah bekas anggota kabinet pada zaman Dr Mahathir menerajui negara selama 22 tahun berkata, rakyat tidak mempunyai sebab untuk menolak kerajaan sedia ada kerana mereka telah disediakan dengan pelbagai kemudahan.

Menurut beliau, kerajaan tidak akan melakukan sesuatu yang boleh merugikan rakyat, sebaliknya lebih mengutamakan kebajikan mereka termasuk penduduk di kawasan pedalaman.

“Adakalanya perkara itu tak sengaja berlaku dan kita berdepan dengan masalah. Pada zaman Dr Mahathir pun ada masalah dan zaman siapa pun tetap ada masalah yang berlaku.

“Tak ada sesuatu pemerintahan yang boleh dilakukan tanpa masalah. Semuanya berhadapan dengan masalah mengikut peredaran zaman dan juga pengaruh luar,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata, apa yang paling penting pada masa ini adalah kerjasama rakyat dan kerajaan dalam mencari jalan penyelesaian setiap masalah yang dibangkitkan itu.








PRU13: PKR, DAP menang kerana jentera PAS, kata Hadi
Pakatan Harapan adalah gabungan pembangkang yang rapuh serta tidak memberi keuntungan kepada Islam dan tidak akan berjaya mendapat undi teras Melayu, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, PAS mempunyai kekuatan akar umbi sendiri yang tidak ada pada parti pembangkang lain dan sebagai contoh mereka mempunyai 195 kawasan dari 222 kerusi Parlimen dan 7,063 cawangan di seluruh negara.

“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kebanyakan jentera adalah jentera PAS yang membantu memenangkan calon pakatan pembangkang daripada PKR dan DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara dengan wartawan Berita Harian. Transkrip penuh wawancara itu disiarkan dalam Harakahdaily, hari ini.

Diajukan soalan mengenai jangkaan secara realistik untuk PRU-14 selepas menyatakan hasrat untuk bertanding di 120 hingga 140 kerusi termasuk kerusi Permatang Pauh, Abdul Hadi berkata, beliau yakin PAS akan mencatatakan prestasi lebih baik.

Ketika bersama Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, PAS menawan 21 kerusi Parlimen tetapi kehilangan penguasaannya di Kedah, walaupun kekal di Kelantan.

“Apabila saya menyebut PAS akan mencapai sasaran menang 40 kerusi, ia adalah satu sasaran yang realistik dan berpijak di bumi nyata berdasarkan kajian yang kita buat di peringkat akar umbi melalui analisis terperinci sehingga ke peringkat Unit Peti Undi (UPU).

“Kekuatan jentera PAS di seluruh negara sedang bergerak aktif dengan kerja pilihan raya dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran Parlimen dan pengisytiharan tarikh pilihan raya,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, kekuatan PAS tidak boleh diukur dengan keputusan pilihan raya semata-mata tetapi berdasarkan perkembangan ahli, kawasan dan cawangan.

Mengambil kira pengalaman, katanya, prestasi PAS pernah menurun kepada satu kerusi saja pada 1986 dan hilang dua kerajaan negeri.

“Keadaan ini tidak pernah dialami oleh parti lain, tetapi kita terus semakin kuat. Kita juga tidak buat kajian atas meja saja tetapi kita buat kajian di lapangan.

“Dengan pendekatan baharu Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang kita gerakkan, sudah menampakkan hasil, kini PAS mudah didekati dan disenangi oleh penjawat awam, NGO, agensi kerajaan dan tokoh masyarakat,” katanya.
Struktur ekonomi Malaysia perlu diubah
Oleh MAZLI NOOR

BANK Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan perangkaan terbaru ekonomi Malaysia untuk suku ke-2 2017 (2Q) iaitu pertumbuhan pada 5.8%. Ini merupakan peningkatan sebanyak 1.8% secara tahunan (YoY) iaitu sebanyak 4.0% dalam tahun 2016. Angka 2Q ini juga merupakan peningkatan lebih baik berbanding suku pertama 2017 (1Q) iaitu pada 5.6%.

Antara sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ini adalah pembinaan yang tumbuh sebanyak 8.3%, perkhidmatan (6.3%), pembuatan (6.0%), pertanian (5.9%), dan perlombongan & kuari (0.2%). Berdasarkan perangkaaan ini, BNM menjangkakan pertumbuhan negara kasar (GDP) untuk 2017 adalah melebihi 4.8%.

Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU) menyambut baik perkembangan positif ekonomi negara ini. Sudah pasti ia akan memberi kesan langsung yang lebih baik kepada rakyat yang selama ini amat terbeban dengan suasana ekonomi yang terherot dan kos hidup yang semakin meningkat.

Walau bagaimanapun LEPU berpandangan bahawa Malaysia masih lagi terkongkong dengan masalah struktur ekonomi yang salah dan tidak mapan yang boleh menyebabkan ia tidak mampu untuk berdaya saing dan berdaya tahan. Ini kerana berdasarkan petunjuk prestasi terkini seperti mana di atas, penyumbang utama kepada pertumbuhan adalah sektor pembinaan yang tumbuh pada kadar 8.3%. Prestasi sektor pembinaan ini sudah dijangka disebabkan kerancakan pelaksanaan projek-projek mega negara sekarang seperti MRT (dianggarkan RM50 billion), Lebuhraya Pan Borneo (RM12 billion) dan yang lain. Malah margin pertumbuhan sektor pembinaan adalah amat dominan berbanding sektor lain yang jelas menunjukan ketidakseimbangan.

Walaupun tidak dinafikan input modal melalui projek-projek mega yang mempunyai pekali tinggi ini mampu menggerakkan ekonomi, namun ia tidak mapan dan bersifat sementara. Pelaksanaan projek-projek mega ini juga akan memberi kesan kepada impot, kekuatan nilai mata wang Ringgit dan juga imbangan pembayaran. Oleh itu ia tidak harus kekal menjadi kompenan utama pertumbuhan ekonomi negara dan struktur ini harus diubah.

Jesteru, LEPU berpandangan struktur ekonomi kini perlu dirangka semula kepada yang lebih mapan dan berdaya tahan iaitu memberi lebih tumpuan untuk meningkatkan sektor perkhidmatan dan pembuatan yang lebih mesra kepada pasaran domestik dan penggunaan. Peningkatan sektor perkhidmatan dan pembuatan akan juga mampu memperkasa input buruh dalam struktur ekonomi negara sekarang yang akhirnya menghasilkan ekonomi yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan terutama dalam menghadapi iklim ekonomi dunia sekarang.

Pada masa yang sama, isu-isu semasa negara yang boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi negara haruslah ditangani segera sepertimana isu 1MDB yang telah menjejaskan keyakinan pasaran, GST yang membebankan pengguna dan masalah kecairan negara.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS (LEPU)
Kekal Kelantan
Oleh NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ

 PILIHAN Raya Umum ke-14 semakin dekat. Hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Parti-parti politik sudah pun bersiap siaga dan kerusi-kerusi yang akan ditandingi sudah pun ditanda dan hanya menunggu masanya butang ditekan oleh Perdana Menteri Malaysia.

Negeri Kelantan sebagaimana biasa adalah tumpuan. Ini kerana Kelantan adalah negeri yang paling lama diperintah oleh parti pembangkang dalam sejarah negara. Barisan Nasional yang memerintah negara semenjak kemerdekaan lagi telah berhabisan cara untuk mengambil alih negeri Kelantan daripada PAS. Tetapi PAS kekal bertahan.

Kini umur pemerintahan PAS di Kelantan telah pun menjangkau 27 tahun. Seorang diplomat barat yang menyatakan hasrat untuk membawa pelaburan di Kelantan beberapa hari lepas menyatakan jika sebuah parti pembangkang berjaya mengekalkan kerajaannya dengan begitu lama, ia memberi erti bahawa mereka memiliki sesuatu yang luar biasa sehingga rakyat terus memilih mereka walaupun dikepung begitu lama oleh pemerintahan di Putrajaya.

Siapa pun akan membenarkan pernyataan diplomat itu. PAS Kelantan memiliki kekuatan yang tidak pun tersembunyi di mata rakyat. Ia kekuatan yang tidak dimiliki oleh Umno BN, tetapi amat diperlukan oleh negara. Rakyat Kelantan mengetahuinya dengan baik lalu mereka terus memberi undi majoriti untuk PAS menerajui Kelantan.

Akhirnya Kelantan memikat hati rakyat Malaysia. Setelah beberapa lama, beberapa negeri lain jatuh ke tangan parti pembangkang. Jasa besar Kelantan waktu itu adalah sebagai pembina keyakinan di hati rakyat bahawa parti pembangkang juga mampu memerintah negeri-negeri, bahkan dengan lebih baik berbanding Umno BN. Ya, ia terbukti di 5 negeri yang sedang atau pernah diperintah oleh pembangkang sebelum ini.

Itu jasa besar Kelantan. Ia membina keyakinan rakyat Malaysia untuk berani berubah. Kemudian ia mengajar rakyat Malaysia untuk terus bersabar membina perubahan yang diimpikan. Yang pertama dan yang kedua, kedua-keduanya adalah sama penting.

Pada PRU11 tahun 2004, Kelantan hampir tewas mengejut. Tetapi separuh rakyat Kelantan terus bertahan dan berjaya memberikan majoriti tipis kepada PAS untuk terus kekal memerintah. Ia adalah jelas kesan daripada kejayaan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi mencipta faktor 'wow' bagi membina kembali Malaysia yang hampir ranap oleh kekejaman rejim Tun Mahathir. Rakyat terpukau dengan janji Perdana Menteri baru yang digelar 'Mr Clean' pada masa itu.

Kelantan bangkit kembali membina keyakinan rakyat. Dengan berkuburnya janji-janji manis Pak Lah, rakyat mula sedar bahawa PAS telah ditanggapi secara salah. PAS bergerak perlahan bukan kerana ia gagal untuk laju. PAS hakikatnya dipaksa untuk menyerah diri dengan kekalahan pada zaman Tun Mahathir. PAS dan rakyat Kelantan dijerut sehingga sukar bernafas. Kesannya nyata, Kelantan tidak selaju Kuala Lumpur.

Tetapi perlahan itulah yang menjadi keselamatan dan kesejahteraan untuk negeri Kelantan. Laju-laju Tun Mahathir bawa Malaysia, akhirnya masuk longkang. Proton masuk longkang. MAS masuk longkang. Perwaja masuk longkang. Ringgit masuk longkang. Forex masuk longkang. Semua masuk longkang. Malah, ketika Pak Lah datang untuk membantu, Pak Lah pun tersadung masuk longkang juga sambil Tun Mahathir turut sama menendang punggung Pak Lah.

Ketika krisis ekonomi 1998 melanda negara, negeri Kelantan menerima tempias paling minimum. Ekonomi domestik negeri Kelantan kukuh dan banyak membantu rakyat Kelantan untuk bertahan dan bangkit.

Walaupun Pak Lah gagal, tetapi beliau membantu rakyat, termasuk Kelantan untuk mengecapi kebebasan yang tiada pada zaman Tun Mahathir. Dengan kebebasan bermedia baru, rakyat menjadi celik dan mula melihat kelemahan ketara Umno BN yang disembunyikan sejak sekian lama melalui penindasan dan binaan jeriji ketakutan di hati rakyat. Umno BN mewariskan untuk generasi baru dengan sebuah negara Malaysia yang penuh masalah dan tragedi.

Akhirnya PAS Kelantan berjaya bangkit dan membantu kebangkitan negeri-negeri lain pada PRU ke-13. Rakyat sedar PAS harus diberi masa untuk membina Kelantan walaupun perlahan. Perlahan mengurangkan musibah hasil kegelojohan.

Pulau Pinang laju. Tapi Pulau Pinang hari ini telah menempa masalah yang tak pun pernah berlaku di Kelantan. Kelantan dalam perlahannya masih bebas rasuah di kalangan barisan pemimpin politiknya. Bukan mendakwa bersih sepenuhnya, tetapi bebas rasuah adalah tanda besar sebuah pemerintahan yang bersih.

Negeri Selangor juga laju sesuai dengan kekayaannya. Tetapi ia pernah mengalami krisis politik dalaman pembangkang yang teruk kerana berebut nak lebih laju. Semoga ia belajar dan terus selamat daripada bala yang lebih buruk.

Apa yang mesti dipelajari adalah kesabaran menanti perubahan ke arah negara yang lebih baik. Rakyat mesti belajar untuk tidak terpengaruh dengan janji-janji kosong, provokasi, fitnah dan binaan persepsi palsu yang hanya bertujuan memperolehi kuasa tanpa kekuatan untuk membawa perubahan yang diimpikan rakyat.

PAS gagah dengan misi Islam dan syariahnya yang adil. Ia memperolehi mandat pemerintahan dengan janjinya kepada rakyat untuk pelaksanaan Islam dan PAS kekal memerintah di Kelantan di atas janji untuk terus istiqamah dengan Islam dan perlaksanaan syariahnya.

PAS kalah di negeri Terengganu dan Kedah bukan disebabkan kegagalannya mengotakan janji, tetapi disebabkan kesukarannya menghadapi tentangan dan fitnah mereka yang enggan Islam bertapak di persada pemerintahan. Jika PAS gagal di Terengganu dan Kedah, sudah pasti kes-kes rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa para pemimpinnya dibongkar dengan galaknya oleh Putrajaya. Tetapi PAS masuk ke kota pemerintahan dan keluar daripadanya dengan penuh selamat dan integriti.

Malah tiada siapa pun mampu menolak bahawa selepas Umno BN mengambil alih Terengganu dan Kedah, suasana politik di kedua-kedua negeri itu tambah meruncing dan sentiasa di ambang kerapuhan dan kekalahan. PAS Terengganu dan Kedah terus gagah dan bersedia untuk kembali.

Saya menekankan soal keperluan pendidikan politik yang benar dan mampan untuk rakyat. Politik rasional yang diperkenalkan oleh PAS melalui Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) adalah amat perlu dihayati oleh semua. Salah satu kerasionalan adalah kesabaran membina dan menanti perubahan.

Rakyat tentunya menanti perubahan ke arah kesejahteraan dan mengharapkannya berlaku dengan cepat. Tetapi proses perubahan bukanlah berlaku sekelip mata. Ia perlukan kesabaran membina sebagaimana ia perlukan kesabaran menanti. Yang memberi mandat harus sabar menanti dan yang memperolehi mandat harus sabar membina.

Mengapa lambat? Ya, ia samalah sebagaimana anda membina diri anda. Jika anda memaksa-maksa diri anda untuk berubah dan sempurna, anda akan cepat rebah di perjalanan. Jika anda membinanya secara perlahan, berdisiplin dan mengambil kira semua faktor, anda akan berjaya dan akan lebih kekal kejayaannya. Faktor kekuatan jiwa, kemampuan mengurus nafsu, galakan persekitaran serta halangan daripada musuh yang menunggu-nunggu kegagalan anda, itu semua perlu diambil kira dan perlukan kesabaran dan kerasionalan berfikir dan berkeputusan. Ia mengelak anda daripada larian yang berulang-ulang dari tempat yang sama. Anda akan gagal membina dan membawa diri anda ke matlamat yang anda impikan.

Begitulah membina sebuah negeri atau negara. Ia tidak mudah. Faktor kegagalan sentiasa sengit menyaingi faktor kejayaan. Jika pemimpin atau rakyat gagal memahami atau kurang rasional, maka kita akan berhadapan krisis kegagalan yang berulang-ulang.

PAS membawa mesej Islam dalam perjuangan politiknya. Mudahnya, ia sukar. Sukarnya bukan bermula sekarang, bahkan dari zaman nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam sendiri. Sunnah perjuangannya bukan bagai hero larian 100 m. Ia bukan Usain Bolt. Ia adalah larian 10 km atau lebih. Ia bukan perjalanan yang dekat. Ia juga bukan perolehan dan ganjaran yang segera.

Musuh politiknya akan berkata, PAS mempergunakan agama untuk tujuan politiknya. Ia dakwaan yang bohong. Isi dalamnya yang sebenar daripada dakwaan ini adalah kerana mereka sendiri gagal mencernakan Islam dalam diri dan perjuangan mereka. Mereka gagal, lalu mereka marah dan dengki melihat orang lain berjaya. Jika mereka yakin, ayuh mari bersama atau berjuanglah atas nama Islam juga. Benar atau bohong antara kita, Allah akan tentukan. Agama ini milik Allah dan pejuangnya adalah pilihan daripada Allah. Bukan PAS atau sesiapa yang menentukan siapa pejuang Islam pilihannya.

Justeru Kelantan adalah sebuah perjalanan yang sentiasa sukar. Ia terpaksa mengharungi kesengitan perjuangan untuk membawa mesej Islam. Diejek, didengki, difitnah dan dipaksakan kejatuhannya walau dengan cara zalim. Sedikit kesilapan akan dijadikan seperti sebesar gunung dosanya.
Bagaimana anda boleh memahami bahawa jika tanpa kerasionalan berfikir, Kelantan akan kekal bertahan? Ya, 27 tahun, Kelantan berhadapan tentangan yang pelbagai. Tembakan di tempat yang sama dan dari arah yang bersimpang siur.

Ketika pilihan semakin terbuka dengan lemahnya Umno BN di mata dan harapan rakyat, PAS terus berusaha meyakinkan rakyat bahawa PAS dengan agenda Islamnya adalah pilihan terbaik. Ia kejayaan yang akan bertahan lama kerana ia adalah tiang-tiang yang kukuh untuk binaan sebuah negara sejahtera sebagaimana ia adalah tiang-tiang yang kukuh untuk sebuah binaan individu muslim yang berjaya dan unggul. Undilah PAS.
Selamatkan negara bersama Islam
BERIKUT adalah temubual Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama wartawan Berita Harian yang disiarkan dalam Akhbar Cetak Berita Harian pada 20 Ogos 2017 (Ahad).

BERITA HARIAN: Bagaimana perkembangan kesihatan Datuk Seri ketika ini. Adakah masih memerlukan rawatan intensif di IJN dan berapa lama diberi cuti rehat oleh doktor?

DATO’ SERI: Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik. Doktor pun sudah izinkan saya lakukan aktiviti ringan secara perlahan-lahan. Bagaimanapun, saya masih memerlukan rawatan susulan dan masih diberi cuti rehat sehingga pulih sepenuhnya.

BERITA HARIAN : Dalam tempoh terdekat ini, bagaimana Datuk Seri menjalankan tugas rasmi terutama sebagai Presiden PAS, Ahli Parlimen Marang dan Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia? 

DATO’ SERI : Saya banyak dibantu oleh setiausaha dan pegawai saya. Pada masa sama, Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga kerap kali datang berjumpa untuk merujuk beberapa perkara penting yang memerlukan pandangan dan persetujuan saya.

Selain itu, saya boleh berkomunikasi melalui telefon untuk menghubungi pimpinan PAS dan juga rakan antarabangsa. Kenyataan saya berkaitan isu antarabangsa juga disiarkan di laman media sosial seperti Facebook Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

BERITA HARIAN: Ketika Datuk Tuan Ibrahim menjalankan tugas sebagai Pemangku Presiden PAS, ada beberapa pihak mendakwa wujud pertelingkahan pandangan dalam membuat keputusan antara Datuk Seri dan Tuan Ibrahim termasuk keputusan menggugurkan Datuk Mustafa Ali daripada jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya yang kemudiannya dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat PAS. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

DATO’ SERI: Semua itu dalam makluman dan persetujuan saya. Tiada isu sebenarnya. Datuk Tuan Ibrahim merujuk kepada saya terlebih dahulu. Datuk Mustafa Ali ialah sahabat baik saya sejak zaman Pemuda lagi. Kita melantik beliau sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat PAS kerana menghargai jasa dan pengalaman dalam jawatankuasa PAS, kita mahu mendengar pandangan beliau. Lagi pula beliau tetap hadir program PAS dan selalu berjumpa saya seperti biasa. Ini hanya mainan media dan saya harap media jujur dalam membuat pemberitaan.

BERITA HARIAN: Sidang Parlimen sesi kali ini sudah berakhir dan sebelum ini PAS optimis Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) akan dibahaskan pada persidangan itu, namun ia tidak juga menjadi kenyataan. Bagaimana PAS menangani isu ini? 

DATO’ SERI: PAS sudah berjaya membawa ke peringkat membentangkan dan menghuraikan usul serta disokong pindaan Akta 355 pada sesi lepas. Sekarang terserah kepada Tan Sri Speaker untuk menyambung perbahasan dan masih ada lagi perkara-perkara teknikal yang memerlukan masa bagi menjayakan RUU 355 ini.

Pendirian kita jelas, kita tidak berputus asa dan berganjak dalam perjuangan memartabatkan Mahkamah Syariah khususnya melalui pindaan Akta 355. Kita melihat RUU 355 ini menjangkaui sempadan politik semata-mata.

BERITA HARIAN: PAS kini sudah tidak bersama pakatan pembangkang yang menggabungkan secara rasmi antara PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selain beberapa parti termasuk PSM. Bagaimana Datuk Seri melihat keraguan banyak pihak termasuk penyokong akar umbi terhadap kekuatan PAS yang berada dalam Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN)? 

DATO’ SERI: PAS ada kekuatan akar umbi sendiri yang tidak ada pada parti pembangkang lain. Kita ada 195 kawasan dari 222 kerusi Parlimen dan 7,063 cawangan seluruh negara. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kebanyakan jentera adalah jentera PAS yang membantu memenangkan calon pakatan pembangkang daripada PKR dan DAP. Saya yakin Pakatan Harapan (PH), gabungan PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan PPBM adalah pakatan rapuh yang tidak memberi keuntungan kepada Islam dan tidak berjaya mendapat undi teras Melayu.

Kita sentiasa membuat kajian dalam menentukan kerjasama dengan mana-mana pihak sejak 1950-an hingga hari ini dan kita boleh membuat keputusan sendiri dan memilih mana yang paling baik.

Gagasan Sejahtera yang ditubuhkan adalah satu-satunya gabungan yang unik dan tidak pernah wujud dalam negara kita. Biasanya apabila menyebut mengenai gabungan politik, maka akan berlaku gabungan antara parti-parti politik sebagaimana PAS pernah bergabung dalam Barisan Nasional (BN), Semangat 46, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Kelainan yang ada pada Gagasan Sejahtera adalah ia gabungan parti politik bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh masyarakat, tokoh akademik, bekas pegawai tinggi kerajaan atau sesiapa saja yang berminat untuk bersama Gagasan Sejahtera

BERITA HARIAN: Jika bersama pakatan pembangkang, PAS mampu menawan 21 kerusi Parlimen pada PRU-13, bagaimana jangkaan PAS secara realistik untuk PRU-14 terutama selepas berhasrat untuk bertanding di 120 hingga 140 kerusi termasuk kerusi Permatang Pauh? 

DATO’ SERI: Apabila saya menyebut PAS akan mencapai sasaran menang 40 kerusi, ia adalah satu sasaran yang realistik dan berpijak di bumi nyata berdasarkan kajian yang kita buat di peringkat akar umbi melalui analisis terperinci sehingga ke peringkat Unit Peti Undi (UPU).

Kekuatan jentera PAS di seluruh negara sedang bergerak aktif dengan kerja pilihan raya dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran Parlimen dan pengisytiharan tarikh pilihan raya. Kekuatan PAS tidak boleh diukur dengan keputusan pilihan raya semata-mata. Kekuatan kita berdasarkan perkembangan ahli, kawasan dan cawangan. Mengambil kira pengalaman, PAS pernah menurun kepada satu kerusi saja pada 1986, pernah jatuh dua kerajaan negeri dan keadaan ini tidak pernah dialami oleh parti lain, tetapi kita terus semakin kuat. Kita juga tidak buat kajian atas meja saja tetapi kita buat kajian di lapangan.

Dengan pendekatan baharu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang kita gerakkan, sudah menampakkan hasil, kini PAS mudah didekati dan disenangi oleh penjawat awam, NGO, agensi kerajaan dan tokoh masyarakat.

BERITA HARIAN: Tanpa kerjasama dengan gabungan parti pembangkang, PAS dilihat hilang arah tuju dan bagaikan tidak berhasrat untuk menang PRU-14. Apa sebenarnya matlamat dan hala tuju PAS dalam suasana politik hari ini? 

DATO’ SERI: Pertama, saya sudah menulis beberapa artikel dan juga dalam ucapan dasar Muktamar PAS April lalu bertemakan “Sejahtera Bersama Islam”, sudah menjelaskan bahawa hala tuju PAS dalam suasana politik hari ini adalah mengajak rakyat untuk menyelamatkan negara bersama Islam. Banyak parti politik bersemangat ke Putrajaya disebabkan teruja dengan kerusi dan kedudukan yang dianggap sebagai peluang, ada juga yang berlumba sehingga bersedia menjadi khadam kepada sesiapa saja termasuk musuh Islam yang mahu menipu dan memporak-perandakan umat Islam, ada juga yang marahkan salah laku dan perkara negatif sehingga sanggup menempah kemusnahan yang lebih besar dan mudarat yang lebih parah bahayanya.

PAS mahu ke Putrajaya dengan Islam menjadi asas penyelesaian segala masalah yang berlaku. Adalah menjadi kewajipan sebenarnya untuk melakukan perubahan ke arah islah bersama Islam yang memimpin dan Islam yang dilaksanakan.

Kedua, hala tuju PAS sekarang adalah memperkasakan Gagasan Sejahtera menuju PRU-14 bersama-sama IKATAN, NGO, tokoh masyarakat dan parti lain yang akan menyertai kita.

Jadi melalui Gagasan Sejahtera yang dibentuk dengan dokongan rakyat dan bukti bersihnya kerajaan Kelantan daripada salah laku dan rasuah, kita tawarkan kepada rakyat pemerintahan yang amanah, adil dan saksama dengan bersama-samanya Islam sebagai tonggak pemerintahan yang menjamin keadilan untuk semua kaum dan bangsa.

BERITA HARIAN: Banyak pihak mengecam tindak-tanduk Datuk Seri yang dilihat berbeza dengan kepemimpinan terdahulu termasuk bekas Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga mewujudkan golongan tidak berpuas hati dalam parti yang akhirnya keluar dan membentuk parti serpihan. Adakah politik diamalkan kepemimpinan Datuk Seri hari ini sesuai dengan kelangsungan PAS sebagai parti Islam di negara ini? 

DATO’ SERI: PAS ada dasar Islam yang menjadi tonggak kepada perjuangannya. Pemimpin PAS bersilih ganti dari zaman berzaman. Yang istiqamah akan kekal dan yang khianat akan tercampak keluar. Almarhum Tuan Guru Nik Aziz meninggal dalam PAS dan istiqamah dengan dasar Islam yang dipegang. Mereka yang tidak ikut jejak Tuan Guru hakikatnya mengkhianati amanat Tuan Guru yang mengakhiri hidupnya dalam PAS.

Perubahan yang kita buat hari ini adalah selepas perbincangan dengan Tuan Guru Nik Aziz sebelum beliau meninggal dunia. Mereka yang keluar parti (membentuk parti serpihan) ini tidak tahu. Saya hanya menyambung warisan perjuangan Islam bersama bahtera PAS yang ditinggalkan oleh Almarhum.

BERITA HARIAN: Bagaimana Datuk Seri melihat kemampuan Parti Amanah Negara, selaku parti serpihan PAS untuk berada di pentas politik, sekali gus menggantikan PAS? 

DATO’ SERI: Kewujudan Parti Amanah Negara tidak memberi sebarang kesan kepada politik negara. Parti itu tidak boleh menggantikan PAS sebab tidak mendapat sokongan Melayu seperti PAS, parti didukung oleh orang Melayu dan diterima oleh orang bukan Islam. Mereka yang berada di belakang penubuhan Parti Amanah Negara akan meninggalkan parti itu apabila tujuan penubuhan itu kelihatan tidak tercapai.

BERITA HARIAN: Adakah masih wujud ruang untuk PAS kembali bekerjasama dengan gabungan parti pembangkang ‘dipandu’ DAP menjelang PRU-14 atau sebenarnya sudah berpatah arang berkerat rotan dengan gabungan itu? 

DATO’ SERI: Kita sudah membuat keputusan, tiada kerjasama dengan DAP dan parti yang bekerjasama dengan DAP. Keputusan kita jelas apabila melihat sikap keras terhadap Islam yang dipamerkan oleh DAP dengan menghalang hak umat Islam yang dijamin dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan menghalang pelaksanaan undang-undang Islam kepada orang Islam saja. Malangnya, DAP lantang menghalang kita untuk meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Akta 355 yang hanya dikenakan ke atas orang Islam saja.

Jadi saya lihat, kerjasama dengan DAP hanya merugikan Islam. DAP berjaya mengumpulkan kumpulan Melayu dan NGO yang memberanikan diri untuk menunjukkan sikap anti-Islam sehingga menyentuh perlembagaan tanpa menghormati sensitiviti kaum. Kita mengharapkan supaya kalangan bukan Islam menyedari bahawa DAP adalah penyebab kepada ketegangan hubungan kaum dan mereka perlu berpindah dan tidak lagi menyokong DAP.

BERITA HARIAN: Apakah benar rundingan sedang berjalan antara PAS dan UMNO untuk menggarapkan ‘jalinan kerjasama’ untuk PRU-14? 

DATO’ SERI: Tarikh pilihan raya belum ditetapkan. Oleh sebab itu, tiada guna kita bincang mengenai pilihan raya. Apa yang dibincangkan terkini adalah mengenai isu rakyat, di mana kita menyokong perkara yang positif dan kita terus bersikap tegas, menegur dan mengkritik secara membina dalam perkara yang negatif.

Hubungan PAS dengan UMNO tidak lebih daripada bekerjasama dalam perkara kebaikan dan keutamaan rakyat. PAS tidak akan masuk UMNO. Itu jelas. Dalam politik, kita tidak ulang strategi lama. Benda baik yang dibuat oleh UMNO, kita sokong dan bagi kerjasama seperti RUU 355 dan isu penindasan etnik Rohingya. Tetapi benda salah yang dibuat oleh UMNO, kita tentang dan tak bersetuju seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), cukai barang dan perkhidmatan (GST), Program Dwibahasa (DLP) dan Akta Membaharui Undang-Undang Perkahwinan dan Perceraian 1976 (Akta 164).

Kenapa apabila PAS bekerjasama dengan UMNO atas dasar kerajaan dengan kerajaan dituduh PAS mahu bergabung dengan UMNO? Bagaimana pula dengan DAP yang bekerjasama dengan UMNO untuk Jambatan Pulau Pinang?

BERITA HARIAN: Apa pendirian PAS terhadap permuafakatan ini (PAS-UMNO), apa pula pandangan peribadi Datuk Seri? 

DATO’ SERI: Pendirian saya sama dengan pendirian PAS dan Majlis Syura Ulama. Bekerjasama atas konsep taawun dalam perkara kebaikan bukan perkara kejahatan. Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 2: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”.

BERITA HARIAN: Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam bagaikan di persimpangan jalan - sama ada memilih gabungan parti dominan Melayu Islam (UMNO dan PAS) atau gabungan parti pembangkang yang dikuasai dan dipandu DAP. Apa pandangan dan pendirian Datuk Seri? 

DATO’ SERI: Saya menyeru orang Melayu-Islam untuk kembali kepada penyelesaian Islam. Mulianya orang Melayu bukan bangsanya Melayu tapi mulianya kerana bersama-sama Islam. Ini disebut oleh Saidina Umar Al-Khattab:

“Sesungguhnya kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Ketika kita mencari kemuliaan bukan dengan yang Allah telah muliakan kita (Islam), maka Dia akan membuat kita hina.”
Islam sudah bertapak di Malaysia secara berdaulat, sehingga keseluruhan kaum Melayu dan sebahagian besar penduduk asal menganut Islam dan menjadi Melayu Muslim. Kedatangan penjajah barat mengubah landskap negara menjadi masyarakat bersama kaum-kaum yang dipaksa datang sehingga menjadi majmuk. Namun Islam tidak boleh dihapuskan walaupun dilemahkan oleh penjajah dengan membuang undang-undang Islam dan penganut Islam tetap menjadi kumpulan majoriti rakyat berbilang kaum dan agama.

Berasaskan pelaksanaan Islam dan sejarahnya, maka wajib ditegakkan pemerintahannya dengan cara yang betul, bersama kepemimpinan negara beragama Islam daripada bangsa Melayu. Pada masa sama, wajib berlaku adil terhadap masyarakat majmuk berbagai agama dan kaum dan membabitkan mereka dalam urusan politik pemerintahan dan kehidupan bermasyarakat seperti ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

Hanya Islam yang mempunyai roh perhitungan beribadat kepada Allah dalam aspek pemerintahan dan ada perhitungan dosa dan pahala terhadap segala tindakan kerajaan, dapat memimpin masyarakat majmuk dengan adil dan berkebajikan terhadap semua.

Maka sokonglah parti yang benar-benar serius mempertahankan Islam dengan segala halangan dan rintangan, moga-moga rakyat selamat dan sejahtera bersama Islam.










































Sayang Dr Mahathir, tetapi pengundi Kubang Pasu masih pilih Umno
Oleh

PEMIMPIN akar umbi Umno di bekas perwakilan Dr Mahathir Mohamad di Kubang Pasu, Kedah walaupun masih menyanjung tinggi bekas perdana menteri itu, tetapi masih meletakkan parti mereka melebihi segalanya.

Rata-rata ahli Umno yang ditemui berkata mereka tidak pernah melupakan jasa Dr Mahathir yang mengubah landskap Kubang Pasu ketika menjadi ahli Parlimen di kawasan itu sejak 1974 hingga 2004.

Namun akui mereka rasa sayang dan hormat kepada perdana menteri yang berkhidmat selama 22 tahun itu tidak sesekali melebihi kesetiaan mereka terhadap Umno.

"Walau apa juga berlaku, walau apa jua keadaan kita tetap menghormati Dr Mahathir sebagai rakan dan bekas pemimpin cuma sekarang ini kita berbeza perjuangan dalam parti, beliau berada di sebelah sana (pembangkang)," kata ahli jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu, Saiful Nizam Mahmud.

Malah jika bertembung dengan bekas perdana menteri itu yang kini mengetuai Pakatan Harapan (PH) pemuda berusia 37 tahun itu mengakui tidak mempunyai masalah untuk bertegur sapa dan bersalaman dengan Dr Mahathir.

"Kalau jumpa memang tidak ada masalah kita boleh sahaja bersalam dan bersembang walau perjuangan kita berlainan. Bagaimanapun kita tetap setiia dengan parti kita ini kalau kita toreh (badan) kita keluar darah pun boleh nampak darah Umno, punya nak cakap perjuangan kita memang sentiasa dengan Umno," katanya.

Seorang lagi Pewakilan Kubang Pasu, Che Royah Abdullah, 66,  turut mempunyai sentimen sama sekaligus mengakui pengaruh Dr Mahathir walau tidak banyak tapi masih boleh dilihat.

"Dr Mahathir ini ramai sayang dia di Kubang Pasu, tapi memang sayang bila keluar parti, kita memang sedih (sebab) kalau dia masih dalam Umno, ramai yang sayang dia. Dia banyak buat pembangunan dekat Kubang Pasu," katanya yang tinggal di Kampung Gelung.

Beliau berkata antara jasa yang dilakukan Dr Mahathir ialah menjadikan Kubang Pasu sebagai pusat pendidikan dengan membina universiti dan politeknik.

"Memanglah ramai sayang dia, anak dia pun Mukhriz orang Kedah memang sayang. Mukhriz ini tak kedekut, kebajikan sekolah pondok pun dia jaga. Dia selalu turun ke sekolah pondok, memang baguslah dia, Orang PAS pun ramai sayang dia," kata wanita itu yang bertutur dengan loghat Kedah pekatnya.
Beliau turut mengakui pengaruh Mukhriz juga merupakan punca Barisan Nasional berjaya merampas kembali Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13).

"Tapi walau macam mana pun sekarang ini saya memang memihak pada parti. Saya masih setia dan sokong parti saya. Dan saya juga tidak mempercayai segala dakwaan Dr Mahathir kepada Najib sebab dia dah biasa sangat buat begitu," katanya.

Hafizul Zahari Othman, 36, dari Umno Cawangan Taman Mahsuri akur dengan istilah “hero datang dan pergi” merujuk kepada perbuatan bekas perdana menteri itu yang beralih kepada pembangkang.
"Selama 22 tahun, sumbangannya amat banyak bersama dengan Siti Hasmah. Kenangan itu masih ada dan kita memang hormat dia tetapi parti tetap utama, kita akan mempertahankan parti tidak kira apa berlaku.

"Memang dia masih ada pengaruh sebab budak yang umur 15 tahun pun kenal dia," katanya yang tidak pernah melupakan jasa Dr Mahthir di Kubang Pasu.

Namun beliau berkata pengaruh yang ada pada Dr Mahathir di Kubang Pasu tidak akan menjejaskan kemenangan Umno di kawasan Parlimen itu kerana pengundi kini semakin matang dan tidak akan tertipu dengan permainan politik bekas perdana menteri tersebut.
"Parti sentiasa jadi yang pertama. Keutamaan kita sentiasa pada Umno dan Melayu," katanya.
Ketua Cawangan Kampung Lembah Arang Bahagian Kubang Pasu, Saad Abdullah, 65, berkata beliau tidak boleh membohongi dirinya yang kecewa apabila Dr Mahathir bertindak keluar daripada parti memandangkan kerjaya politiknya bermula di kawasan itu.

"Dulu apa yang dia cakap sekarang dah kena dekat dia.Dia selalu cakap Melayu mudah lupa, akhirnya dia yang mudah lupa. Kami memang kecewa kerana kami ini ahli Umno yang tulen, kami memang beri sokongan kepada kerajaan."
Sama seperti yang lain, Abdullah berkata akan sentiasa mengingati jasa Dr Mahahtir yang membangunkan Kubang Pasu sebagai kawasan perindustrian, mewujudkan pusat pendidikan dan membina lebuh raya meski beliau tidak lagi menjadi ahli Parlimen di situ.

Sementara itu Naib Ketua Puteri Umno Kubang Pasu, Nor Azura Mohamad, 34, yakin bahawa Umno akan meneruskan kejayaan memenangi kerusi di Kubang Pasu meskipun tanpa pengaruh Dr Mahahtir.

Katanya ia dapat dilihat daripada majoriti peratusan pengundi yang tinggi di Kubang Pasu semasa pilihan raya lalu.

"Bersatu di Kubang Pasu tidaklah kuat mana pun. Insyallah tidak menjejaskan kami. Sebab kalau kita tengok Johari Baharom mempunyai 10,000 majoriti dan sekarang pula kita ada tambahan 5,000 pengundi.

"Kita boleh menang jika  peratusan itu dikekalkan cuma yang 5,000 itu kita tak pasti mereka ini akan sokong siapa, tapi setakat ini dari kajian kami memang kami yakin boleh menang." katanya yang berada dalam sayap puteri selama 15 tahun.

Dr Mahathir merupakan bekas ketua Umno Bahagian Kubang Pasu daripada 1974 sehingga 2004.
Sepanjang tempoh itu, Kubang Pasu menjadi antara hab pendidikan di negara ini bermula dengan Universiti Utara Malaysia (UUM), diikuti dengan penubuhan Kolej Matrikulasi Kedah, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Darulaman (IPGMKD), Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Polimas) dan Kolej Komuniti Bandar Darulaman.

Beliau mula bertanding di Kubang Pasu pada Pilihan Raya Umum 1974 dan menang tanpa bertanding sebelum berundur untuk memberi peluang kepada Timbalan Menteri Pertahanan Mohd Johari Baharom pada 2004.

Sebelum ini di Persidangan Pewakilan Pemuda Umno Kubang Pasu, Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun berkata untuk melawan Dr Mahathir ia harus bermula dari Kubang Pasu
Di Langkawi, Dr Mahathir turut berpengaruh di kalangan anak muda
Oleh

WALAUPUN sudah lama bersara sebagai perdana menteri, pengaruh Dr Mahathir Mohamad masih lagi kuat di Pulau Langkawi, termasuk dalam kalangan anak-anak muda di bawah 30 tahun.

Mereka yang ditemui The Malaysian Insight berkata, walaupun masih kecil ketika Dr Mahathir masih perdana menteri, buku sejarah dan cerita daripada ibu bapa menjadi tarikan untuk menyokong pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu itu.

Farah, 21, yang masih menuntut di sebuah universiti awam berkata, Pulau Langkawi yang dahulunya hanya mempunyai "jalan tanah merah" kini menjadi destinasi pelancongan dunia kerana jasa Dr Mahathir.

"Saya banyak baca tentang jasa Dr Mahathir daripada buku-buku sejarah. Ramai kawan-kawan saya di Langkawi menghormati Dr Mahathir walaupun ketika beliau perdana menteri, kami masih lagi kecil," katanya

"Kalau Dr Mahathir bertanding pada PRU14 di Langkawi, saya rasa dia pasti dapat sokongan besar."
Farah yang kini bekerja sambilan kerana sedang bercuti berkata, apa yang dibimbangkan ialah Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Najib Razak kini mempunyai banyak hutang.

"Macam-macam cerita saya dengar, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), boros dalam berbelanja dan macam-macam lagi.

"Berbeza ketika Dr Mahathir perintah Malaysia. Banyak jasa beliau, bukan sahaja di Langkawi tetapi di seluruh negara," katanya.

Langkawi diberikan status bebas cukai pada tahun 1987 semasa Dr Mahathir masih perdana menteri. Dr Mahathir pernah bertugas sebagai seorang doktor di Pulau Langkawi selepas lulus dari Universiti Malaya di Singapura.

Kerusi Parlimen Langkawi dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya Kiah dan Ayer Hangat kini disandang Umno dan tidak pernah jatuh ke tangan pembangkang.

Ima, 26, berkata, ramai kawan-kawannya menyertai Bersatu yang dipimpin Dr Mahathir berbanding Umno.

Katanya, jasa Dr Mahathir bukan sahaja dikenang generasi tua akan tetapi golongan muda yang dapat melihat bagaimana Malaysia bertukar menjadi negara maju di zaman pemerintahannya.

"Saya tidak boleh terima apabila orang baling kasut dan kerusi kepada Dr Mahathir. Kalau tak setuju sekalipun dengan apa yang dia cakap, hormatlah dia sebagai orang tua. Kurang ajar!" katanya merujuk kepada kekecohan yang berlaku semasa forum "Nothing To Hide 2.0" di Shah Alam, Selangor minggu lalu.

Menurut cerita yang didengari daripada golongan tua dalam keluarganya, sebelum dimajukan Dr Mahathir, Langkawi hanyalah sebuah kepulauan golongan nelayan.
Bapa pemodenan negara 

Bagi Aidil Azhar, 21, walaupun keadaan sudah berubah di mana Dr Mahathir kini merupakan pemimpin pembangkang, fakta tidak dapat diubah beliau merupakan bapa pemodenan negara.
"Siapa boleh nafikan jasa Dr Mahathir? Lihatlah KLCC, KLIA siapa yang buat semua itu?" soal Aidil yang kini bekerja di sebuah pusat membeli belah di Pantai Chenang.

Aidil berkata, setakat ini masih belum kelihatan pembangunan yang dilakukan Najib di "permata" bagi negeri Kedah itu.

Najib pada Sabtu, turun ke Langkawi untuk merasmikan mesyuarat Umno bahagian dan menghadiri program "Pemimpin Bersama Rakyat".

Pada hari sama Najib turut melancarkan dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) bernilai RM247 juta. Selain itu, Najib turut melancarkan Jeti Nelayan di Pulau Chenang bernilai RM9.16 juta.

Majlis itu juga menampilkan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah seperti kereta, motorsikal, basikal dan pelbagai barangan elektrik.

Dalam ucapannya semasa merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Langkawi dan di program "Pemimpin Bersama Rakyat", Najib mengingatkan agar rakyat tidak terikat dengan mana-mana individu.
"Perjuangan ini berjaya kerana kita ada apa? Kita ada kerajaan. Kerajaan tidak bergantung kepada individu," katanya
PAS ‘suicide bomber’ bukan ‘king maker’ PRU14
Oleh

TERLALU awal bagi PAS memikirkan yang mereka boleh menjadi “king maker” pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana mereka sebenarnya tidak ubah seperti boneka atau “suicide bomber” dalam pertandingan tiga penjuru, kata Husam Musa di Konvensyen Amanah Perak hari ini.

"Jika berlaku pertandingan tiga penjuru, mengikut kiraan saya, PAS akan menang 3 hingga 5 kerusi sahaja.

"Jadi bagaimana dia hendak jadi 'king maker', ini hanya 'boneka' atau 'suicide bomber' saja," kata naib presiden Amanah itu.

Husam dipercayai mengulas pendekatan PAS mahu menjadi “king maker” yang bakal menentukan siapa boleh memerintah negara selepas pilihan raya umum jika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai kerusi mencukupi untuk memerintah.

PAS berharap akan menjadi penentu siapa yang patut memerintah ketika itu.

Pada sidang media selepas majlis perasmian, Husam berkata jika PAS bersendirian, PAS hanya akan menjadi “pengebom bunuh diri” saja.

Katanya, “king maker” selepas pilihan raya memerlukan kerusi mencukupi tetapi kini terlalu awal untuk parti itu menyebut untuk menjadi “king maker”.

"Dengan pendekatan sekarang, tidak ada sebab PAS akan mendapat banyak kerusi. Tanpa kerusi, anda tidak boleh jadi ‘king maker’," kata bekas naib presiden PAS itu.

Husam berkata dengan bersendirian, PAS hanya memainkan peranan perosak undi saja bagi menghalang pembangkang lain menang.

"Jika tiga penjuru PH juga mungkin tewas. Jadi bagi saya, ini hanya mainkan peranan agar BN lebih peluang untuk menang," katanya.

Bagaimanapun, katanya jika berlaku pertandingan tiga penjuru, ia memberikan kesan positif kepada PH untuk menang.

"Di sesetengah tempat lebih baik untuk PH menang jika tiga penjuru. Kerusi seperti Seremban misalnya. Bila calon parti lain masuk, undi DAP akan meningkat. Namun ada juga yang beri kesan negatif kepada pembangkang," katanya.

Tetapi, katanya apa yang lebih penting adalah memberikan kesedaran kepada rakyat ada dua kumpulan utama iaitu BN dan PH.

"BN iaitu kerajaan yang ada dan satu lagi PH yang ada lebih peluang untuk menang mengalahkan BN berbanding PAS.

"Kalau rakyat hendak perubahan, dia kena pilih kumpulan yang ada peluang untuk menang iaitu PH. Lupakan PAS buat sementara," katanya.

Sehubungan itu, katanya beliau masih berharap PAS akan kembali ke jalan perjuangan asalnya untuk membuat perubahan dalam negara.

"Belum terlambat untuk PAS datang menyertai pasukan pembangkang melalui PH tetapi bukan melalui pintu belakang tapi pintu depan," katanya yang mahu PAS berunding secara rasmi dengan PH.
Menunggu kerajaan yang memimpin, yang tidak main wayang
TIADA apa yang lebih buruk daripada sebuah kerajaan yang memerintah hanya untuk mengejar populariti dan main politik.

Belum reda lagi cerita pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) lebih kurang 30 tahun lalu, Putrajaya kini mengintai penubuhan sebuah lagi Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat peristiwa Memali.

Tampaknya ada kesungguhan baru yang luar biasa hari ini untuk menyelongkar semula semua peristiwa yang berlaku sepanjang pentadbiran Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun. Apakah ini ada kaitan dengan kedudukan Dr Mahathir kini yang sudah menjadi musuh politik pemerintah?

Atau apakah ini usaha untuk bertanggungjawab atas apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu yang masih terus memerintah Malaysia sehingga kini?

Hanya hal-hal yang berlaku pada zaman Dr Mahathir, tentunya.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi lancang mengungkapkan semalam bahawa keadilan perlu ditegakkan dan orang yang bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan.

"Saya selaku menteri dalam negeri akan meneliti sendiri semua laporan mengenai peristiwa tersebut," katanya. Beliau menambah dalam menegakkan undang-undang, semua pihak harus mengetepikan perbezaan politik mereka.

"Peristwa Memali telah berlalu lebih dua dekad, namun kita harus ingat mangsa, keluarga, anak-anak yatim yang meninggal dunia dinafikan hak oleh pemerintah ketika itu,” katanya.
Sudah tentu, Tuan Menteri Dalam Negeri!

Sementara kita masih bercakap tentang hal hak, keadilan dan menegakkan undang-undang, bolehkah tuan cadangkan juga sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyemak kegagalan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Atau rakyat Malaysia perlu menunggu 30 tahun lagi?

Kalau direnung-renung, kenyataan Zahid hujung minggu lalu sepatutnya menyedarkan seluruh rakyat Malaysia kenapa mereka mesti mengundi dalam pilihan raya umum nanti.

Kita selama ini diperolok-olokkan oleh para pemimpin yang yakin bahawa negara ini mereka punya untuk diperkotak-katikkan. Untuk mereka mencadangkan penyiasatan hanya jika ia memenuhi tembolok mereka, bukannya kehendak rakyat.

Rakyat Malaysia sudah penat dengan semua tipu muslihat politik ini. Tetapi rasa lesu dan tidak lagi peduli adalah musuh utama kebenaran di hujung kaki penguasa.

Silakanlah, silakan. Siasatlah kerugian perdagangan mata wang asing BNM dan peristiwa Memali pada 19 November 1985 yang membunuh 18 orang termasuk empat anggota polis dan mencederakan ramai yang lain ketika serbuan polis untuk menangkap guru agama Ibrahim Mahmud yang juga dikenali sebagai Ibrahim Libya.

Tidak payah ada RCI pun tidak mengapa. Buka saja fail, panggil mereka yang terlibat dan siasat sampai ke akar umbi. Atau boleh juga main wayang dan umumkan kepada dunia bahawa perkara itu sedang diteliti.

Kalau hanya itu saja, jelaslah bahawa semua ini hanya mainan politik. Apakah kerajaan akan ambil tindakan berdasarkan kepada laporan RCI kerana sesetengah laporan sebelum ini berlonggok menyimpan debu? Apakah semua yang terlibat sampai ke peringkat mata-mata yang menerima arahan akan dihukum atau hanya orang atasan?

Rakyat Malaysia berkehendakkan sebuah kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat, bukannya kerajaan yang mahu jadi popular dengan usaha sia-sia cuba memenuhi nafsu orang lain dan terus berkuasa.

Kalaulah begitu, takut-takut nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran-TMI

Ahad, 20 Ogos 2017

Azmin cukuplah jangan letihkan rakyat
Oleh Mohd Sayuti Omar 

Bila PKR tidak serit dan seakan mengalpakan apa yang berlaku dan terus memujuk Pas untuk bersama dalam satu ketumbukan bagi menentang BN, orang yang masak politik bersetuju dengan usaha berkenaan. Itulah politik matang, dan mengesahkan bahawa politik adalah sebuah games.

Sebab itu, bila ada orang menolak Dr Mahathir Mohamad untuk bersama Pakatan Rakyat (kini Harapan) saya merasakan tindakan itu kurang cerdik dan mereka bukan berada dalam sebuah games politik. Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah Anwar pada mulanya juga menolak huluran tangan Dr Mahathir.

Tetapi setelah diberi pencerahan dan jaminan Dr Wan Azizah akur dengan huluran salam Dr Mahathir. Tetapi sebahagian kumpulan Orai masih marah dan tidak mahu memaafkan Dr Mahathir atas kesalahan lampau. Tidak mengapa kerana mereka bukan berada dalam games, tetapi di luar pentas politik yang menuntut kebijaksanaan. Orang yang berada di luar politik memang begitu.

Dalam politik kalau ada dendam ia tidak akan membawa kemenangan. Menghitung hal masa lampau menyebabkan gelap masa depan.

Kita faham kenapa itu berlaku kerana emosi mengatasi rasional politik. Dalam politik rasional lebih baik dari emosi kalau mahu menang dan berjaya.

Bagaimana pun senario itu berlainan dengan usaha Azmin Ali yang beriya-iya untuk mengajak Pas untuk bersama PKR - Harapan. Perlu disedari keadaan Pas berbeza jauh dengan keadaan Dr Mahathir. Ini perkara yang perlu di dignosiskan.

Dr Mahathir tidak bersalah kepada PKR, tetapi dia bersalah dengan sebilangan orang dalam PKR seperti Dr Wan Azizah Nurul Izzah dan sanak saudaranya yang kecewa dan sedih dengan perilaku sadis politiknya terhadap Anwar sebelum ini. Sebaliknya Dr Mahathir tidak bersalah dengan Pakatan Rakyat, DAP, Amanah.

Sepatutnya kesilapan dilakukan Dr Mahathir itu termaaf dengan apa yang dilakukan Najib Razak selepas itu. Bukankah episod pemenjaraan Anwar yang pertama sudah selesai dan pemenjaraan kedua beliau kini adalah episod kedua yang tidak ada kena mengena lagi dengan Dr Mahathir? Di bawah Dr Mahathir, Anwar terhukum kerana penyalahgunaan kuasa, di bawah Najib kerana liwat.

Dr Mahathir juga tidak mengambil stand politik sekeras stand Pas dengan PKR dan Amanah dan DAP. Kenyataan Pas sebelum ini secara menyeluruh mengkritik kepada parti-parti itu bukan individu semata. Apabila Pas membuat stand berkenaan maka ia menjadi sulit untuk dibawa Pas bersama PKR, dan ke dalam dalam Pakatan Harapan kerana ia berkait dengan maruah parti.

Pas ada prinsip walaupun prinsip presidennya longgar dan berubah. Tidak mungkin ia sedia berubah. Pas sudah "memakumatikan" pendiriannya. Bagi Pas tindakan itu adalah keyakinan kepada strategi dan keimanannya. Pas bukan tidak menyedari peluang dan harapan yang terbuka di depan sekira ia mengekalkan berada bersama pembangkang, tetapi parti itu sudah mengembara jauh, menganyam mimpi indah bersama yang lain.

Pas sebenarnya sudah ditambat dengan tali besar dan gagah oleh suatu kuasa tetapi tali itu tidak kelihatan pada mata zahir. Macam mana Azmin situkang sihir itu mampu untuk melucutkan tambahan itu? Amat-amat mustahil.

PKR atau Azmin perlu melihat kepada apa diusahakan oleh Muhyididin Yassin sebelum ini. Kenapa PBBM lambat untuk bersama Pakatan Harapan ialah kerana Muhyiddin sedang menjalani proses, "mengangguk dan mengembang sayap" dengan Pas. Macnam lagak ayam jantan hendak membodek pongek ayam betina. Tetapi akhirnya Pas enggan menudukkan belakangnya, dan PBBM gagal merukah Pas.

Akhirnya Muhyiddin surender sampai meluahkan kata-kata Pas bohong dan suatu parti yang tidak boleh diajak berunding. Apakah Azmin melupai itu dan ia yakin mampu menawan hati Pas? Apakah kelebihan yang ada kepada Azmin?

Azmin tidak boleh berpandukan kepada kejayaan memerangkap Abdul Hadi untuk hijek jawatan MB Selangor daripada Dr Wan Azizah dulu. Itu situasi yang berbeza. Hadi atau Pas menyokongnya kerana ia ada manfaat untuknya. Jangan anggap Pas tidak bijak.

Situasi ketika itu win-win, jangan berasakan Hadi terperangkap dengannya. Kerana keadaan win-win itulah menyebabkan Pas jadi seperti hari ini. Azmin tidak boleh menafikan Pas kerana itu beliau tetap menerima wakil Pas dalam kerajaan Selangor dan mengikhtirafkan Pakatan Rakyat masih wujud walaupun dari segi moral politik sepatutnya wakil Pas sudah dibuang.

Di sini jika ditinjau dari sudut lain, Azmin yang terjerut dalam jerat Pas. Beliau tidak dapat keluar begitu sahaja, sebalik kena akur walaupun ia mengecewakan orang lain. Walaupun Amanah mengakui kerana peranan dua Adun mereka, Saari Sungib dan Hasnol Baharuddin memungkin Azmin boleh jadi MB, tetapi sumbangan besar Pas tidak boleh diketepikan. Inilah antara tali digunakan Pas untuk memberkas Azmin. Hanya Azmin yang tahu jenis tali digunakan Pas untuk mengikatnya.

Dengan mengambil kira politik itu games, ia menyaksikan berbagai aksi dan perundingan. Politik itu sendiri perundingan, perbincangan dan dalam perundingan itu ada jerat. Saya ingin katakan selagi Pas dikuasai Abdul Hadi Awang, tidak mungkin Pas akan berundur ke belakang untuk bersama Harapan dan PKR. Keccualilah Azmin dapat mempengaruhi Dr Mahathir, Mohamad Sabu dan Guan Eng untuk membuat konsensus kalau PH menang Hadi akan dilantik jadi perdana menteri.

Bolehkah?

Usaha sendirian berhad Azmin itu merugikan PH. Sementara perundingan berjalan telah timbul berbagai persepsi kepada Harapan. Mereka di bawah yang melihat politik selurus-lurusnya secara harfiah atau literal, sudah penat dengan apa yang berlaku. Situasi ini memberi kesan, menjadikan mereka akan muak, dan jemu akhirnya mengambil sikap tidak mahu peduli kepada politik. Kalau ini berlaku yang ruginya ialah Harapan juga.

Sementara UBN suka sikap begini di kalangan rakyat. Sebahagian taktik dan strategi UBN juga ialah untuk menjadikan politik Malaysia boring dan orang penat. UBN mahu memenatkan minda lawan. Selepas semuanya keletihan dikala itu ia akan memanggil pilihan raya.

Jadi usaha untuk membawa Pas ke dalam PH itu sebahagian usaha memenatkan minda rakyat.
Lupakan Pas dan hormatilah akan sikap istiqamahnya, kerana itu adalah masih berada dalam rukun-rukun halal politik. Pas mungkin boleh diajak untuk berunding setelah ia menerima padah dalam pilhan raya akan datang, dan sesudah ia tidak lagi dipimpin oleh Abdul Hadi Awang.




















Shahrizat usah cemburu, patut depani pengundi milenial
Oleh Fahmi Fadzil 

Semalam, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil telah membuat kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar adalah seorang “pemimpin media sosial” yang tidak buat kerja di kawasan.

Ini merupakan 1 kenyataan yang cemburu terhadap keupayaan pemimpin PKR yang mampu berkhidmat walau terpaksa berhadapan dengan pelbagai kekangan dan halangan. Malah kenyataan tersebut sebenarnya memperlekeh anak muda khususnya generasi ‘milenial’ yang sering mendapat berita melalui media sosial.

Pimpinan PKR seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Azmin Ali, Nurul Izzah, Rafizi Ramli, saya dan ramai lagi terpaksa berhijrah ke media sosial kerana kami tidak memiliki akses kepada media arus perdana sama seperti apa yang dinikmati pimpinan Umno-BN.

Kami juga jarang sekali diberi peluang untuk menjawab sepenuhnya dakwaan-dakwaan yang dibuat pimpinan Umno-BN melalui media milik mereka atau kenyataan-kenyataan kami diputar belit sehingga ramai pemimpin terpaksa menyaman media-media tersebut (dan seringkali pemimpin tersebut menang).

Itulah sebabnya kami selalu menggunakan Twitter, Facebook, WhatsApp dan media sosial lain untuk menyebarkan berita tentang usaha-usaha kami di kawasan, sehingga ada pihak yang sanggup mencipta dakyah pimpinan PKR hanya ‘pemimpin’ di media sosial.

Umum sedia maklum bahawa ahli-ahli Parlimen pembangkang khususnya di Kuala Lumpur sering berhadapan dengan pelbagai kekangan dan halangan akibat dari politik dengki yang diamal sesetengah pihak. Sebagai contoh, pada 18 Jun lalu, Nurul Izzah dan PKR Lembah Pantai telah menganjurkan program sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Taman Bukit Angkasa untuk 500 warga Lembah Pantai.

Pada awalnya, untuk kemudahan dan keselesaan penerima sumbangan, kami telah membuat permohonan untuk menggunakan medan selera Taman Bukit Angkasa yang lapang dan berbumbung.

 Walaupun pada ketika permohonan tersebut dibuat kami mendapati tiada sesiapa yang menempah tapak tersebut, kami menerima makluman beberapa hari sebelum program bahawa medan selera tersebut telah disewa pada hari dan waktu serupa dengan program kami – maka kami dihalang dari menggunakannya. Namun, seperti yang diceritakan sendiri oleh Nurul Izzah melalui Facebook Live yang ditonton lebih 170,000 orang dan disebar lebih 1,600 kali, pada hari program sumbangan, kami mendapati bahawa medan selera tersebut lengang dan kosong. Tiada sebarang program pun yang dijalankan di situ pada hari tersebut.

Ini hanyalah 1 dari bermacam-macam contoh di mana kerja-kerja Nurul Izzah di kawasan dikekang dan disabotaj pengamal politik dengki. Walaupun begitu, beliau dan pasukan Pejabat Ahli Parlimen terus istiqamah dalam memberi perkhidmatan terbaik buat warga Lembah Pantai.

Sama seperti di kawasan-kawasan bandar di seluruh negara, Lembah Pantai mempunyai jumlah pengundi generasi ‘millenial’ mencecah 30%. Realiti inilah yang menyebabkan Ketua Pemuda Umno dan BN, Khairy Jamaluddin menggesa BN membuang imej ‘Jurasik’ yang ada pada parti itu sekarang. Oleh itu, seseorang pemimpin politik hari ini bukan sahaja perlu bekerja keras di kawasan tetapi juga perlu menjadi seorang ‘pemimpin media sosial’.

Buat pengamal politik dengki, hentikan lah budaya perosak demokrasi ini. Dari pengamatan saya, warga Lembah Pantai cukup muak dan marah dengan budaya dengki ini. Ramai yang saya temui faham bahawa mereka inilah yang sering mensabotaj kerja-kerja ahli Parlimen pembangkang di kawasan.

Buat Shahrizat, jika Tan Sri tetap percaya bahawa gelaran ‘pemimpin media sosial’ bukan gelaran yang baik untuk seseorang ahli Parlimen, saya mengalu-alukan Tan Sri untuk berdepan sendiri dengan pengundi-pengundi khususnya generasi milenial di Lembah Pantai pada PRU-14 nanti.









Bertahanlah Malaysia
Oleh Haissazc Shuqkin Hisham 

Ketika membaca berita daripada media elektronik berkenaan tragedi perkauman yang berlaku di Charlottesville, mengingkatkan saya kepada negara kita, Malaysia. Bukan kita tidak pernah melalui tragedi sama seperti ini, malah hari ini ia masih berterusan walaupun kononnya “harmoni” kuat tertanam dalam sanubari setiap rakyat.

Dari zaman DEB hinggalah zaman MEB sekarang, tidak ditemui jalan noktah akan sentimen perkauman dalam negara. Semua orang mahu peluang, tetapi peluang dipolitikkan untuk kepentingan tertentu.

Kata mahu bina “Malaysia Baru”, katakan dan yakinkan kepada saya apakah “Malaysia Baru” yang dimaksudkan? Adakah Malaysia yang tiada sikap prejudis, politik gengsterisme dan perkauman, atau macam mana?

Di saat pemain politik sibuk menjaja mahu wujud “Malaysia Baru”, kita masih bergantung harap kepada parti yang berpaksikan kaum untuk menjadi pemain utama meraih undi bagi membantu blok yang sudah lama menjadi bayangan di bawah pemerintah kerajaan sedia ada. Macam mana kita mahu percaya dan yakin “Malaysia Baru” yang dicanangkan jika permainan seperti ini yang dipamerkan?

Hutang belum selesai

Dari Terengganu, syarikat ini dijenamakan semula menjadi GLC yang kini di bawah kawalan Kementerian Kewangan dengan objektif untuk menjana pendapatan melalui pelaburan menguntungkan, walaupun pada awalnya modal hanya RM1 juta.
Orang tua berkata, tidak salah bermimpi setinggi langit demi kebaikan diri. Apakah itu kata-kata sekadar menyedapkan hati tidak mungkin tercapai dalam realiti, jika tiada bekalan mencukupi untuk merealisasikan mimpi setinggi langit itu?
Sama seperti syarikat itu, modal hanya RM1 juta, tetapi mimpi labur berjuta-juta, berbilion sehingga terpaksa meminjam atau menjual aset demi kepentingan syarikat tersebut yang mana akhirnya menjadi bualan mulut di seluruh dunia kerana saratnya hutang yang ditanggung.
Kepala yang mengetuainya kekal diam membisu untuk jelas menceritakan apa sebenarnya yang berlaku. Ditutupnya mulut kepala sistem keadilan negara mengatakan tiada apa perlu diceritakan, sedangkan kepala luar yang lain sibuk menggali punca, termasuk negara yang kini ditadbir selebriti politik.
Kita sarat dengan hutang, dibeban cukai yang jelas untuk bayar hutang. Mampukah kita kekal bertahan?
Kuala Lumpur ‘licin’
Malaysia, sudah lama kita tidak menjadi tuan rumah acara sukan yang menghimpun sahabat kita dari satu rantau yang sama. Pastinya tahun ini menjadi tahun yang menarik, kita menjadi tuan rumah bagi sukan Asia Tenggara dalam bulan kemerdekaan. Semestinya atlet kita akan berjuang demimu, Malaysia.

Tetapi, Kuala Lumpur licin dengan tiada lagi mereka yang biasanya kelihatan tidur di mana-mana di sekitar ibu kota. Mereka dibawa dan dikumpulkan di sebuah tempat untuk beberapa bulan sepanjang sukan ini berlangsung.

Di manakah mereka dibawa? Apakah sistem operasi yang dijalankan pihak berwajib ke atas mereka? Adakah keadaan mereka dijamin baik? Selepas habis temasya sukan, ke mana mereka akan “dicampakkan”?

Satu demi satu persoalan datang menyinggah akan kenapa diperlakukan tindakan sebegitu. Adakah kita malu ada golongan ini berpeleseran di rumahmu, Malaysia?
Orang lama diserang

Malaysia, masih ingatkah kamu insan yang pernah memegang kunci rumahmu selama 22 tahun sebelum ini? Nampaknya dia cuba mendapatkan kembali kunci itu dengan cara berlainan. Hadirnya kembali bukan dengan keris Melayu, tetapi dengan bunga Melayu.

Minggu lepas, kehadirannya diserang dengan kerusi terbang, suar api merah yang dibaling dengan penuh kemarahan. Tak ubah seperti berada di stadium bola yang kecoh dek kerana puak “hooligans”, begitulah keadaannya.

Ada yang kata ia dirancang bunga Melayu, ada yang tuduh keris Melayu hunus RM50 untuk buat huru-hara. Mangsanya anak remaja yang buta keadaan, sedangkan sang perancang masih bersembunyi dalam kalangan kami.

Ada yang mempertahankan beliau dengan menyeru agar menghormati beliau sebagai orang tua setidaknya, ada yang mengatakan beliau selayaknya dikenakan keadaan sedemikian akan kesilapan beliau selama 22 tahun memegang kunci rumahmu.

Begitulah politik moden kini di negaraku, Malaysiaku.

Bagaimana saya dan rakan muda lain mampu mempertahankanmu di saat suara rakanku ditutup dengan akta bersifat kolonial dan melanggar sifatmu yang dibentuk sebelum kamu dibebaskan penjajah British.

Mereka yang bersuara, masa depan akan dirampas. Sama ada ditendang daripada menara gading atau ditahan di bawah akta menentang kebebasan bersuara.

Mereka bina TN50, tetapi beranikah mereka untuk mendengar kritikan dan cadangan kami yang ternyata berbeza daripada pegangan dan prinsip mereka?

Bagaimana kami mampu mempertahankanmu, Malaysia?

Tempoh 5 tahun sudah makin hampir. Saya berdoa agar anak muda dibukakan mata untuk sedar dan peka akan keadaanmu dengan memenuhi prinsip demokrasi dengan menentukan masa depan melalui pengundian. Harap mereka semua cakna dengan keadaanmu, tetapi buat masa ini, tiada apa yang mampu saya katakan selain daripada bertahanlah, Malaysia.

Haissazc Shuqkin Hisham ialah exco Challenger Malaysia.