Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Di Langkawi, Dr Mahathir turut berpengaruh di kalangan anak muda

Oleh

WALAUPUN sudah lama bersara sebagai perdana menteri, pengaruh Dr Mahathir Mohamad masih lagi kuat di Pulau Langkawi, termasuk dalam kalangan anak-anak muda di bawah 30 tahun.

Mereka yang ditemui The Malaysian Insight berkata, walaupun masih kecil ketika Dr Mahathir masih perdana menteri, buku sejarah dan cerita daripada ibu bapa menjadi tarikan untuk menyokong pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu itu.

Farah, 21, yang masih menuntut di sebuah universiti awam berkata, Pulau Langkawi yang dahulunya hanya mempunyai "jalan tanah merah" kini menjadi destinasi pelancongan dunia kerana jasa Dr Mahathir.

"Saya banyak baca tentang jasa Dr Mahathir daripada buku-buku sejarah. Ramai kawan-kawan saya di Langkawi menghormati Dr Mahathir walaupun ketika beliau perdana menteri, kami masih lagi kecil," katanya

"Kalau Dr Mahathir bertanding pada PRU14 di Langkawi, saya rasa dia pasti dapat sokongan besar."
Farah yang kini bekerja sambilan kerana sedang bercuti berkata, apa yang dibimbangkan ialah Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Najib Razak kini mempunyai banyak hutang.

"Macam-macam cerita saya dengar, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), boros dalam berbelanja dan macam-macam lagi.

"Berbeza ketika Dr Mahathir perintah Malaysia. Banyak jasa beliau, bukan sahaja di Langkawi tetapi di seluruh negara," katanya.

Langkawi diberikan status bebas cukai pada tahun 1987 semasa Dr Mahathir masih perdana menteri. Dr Mahathir pernah bertugas sebagai seorang doktor di Pulau Langkawi selepas lulus dari Universiti Malaya di Singapura.

Kerusi Parlimen Langkawi dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya Kiah dan Ayer Hangat kini disandang Umno dan tidak pernah jatuh ke tangan pembangkang.

Ima, 26, berkata, ramai kawan-kawannya menyertai Bersatu yang dipimpin Dr Mahathir berbanding Umno.

Katanya, jasa Dr Mahathir bukan sahaja dikenang generasi tua akan tetapi golongan muda yang dapat melihat bagaimana Malaysia bertukar menjadi negara maju di zaman pemerintahannya.

"Saya tidak boleh terima apabila orang baling kasut dan kerusi kepada Dr Mahathir. Kalau tak setuju sekalipun dengan apa yang dia cakap, hormatlah dia sebagai orang tua. Kurang ajar!" katanya merujuk kepada kekecohan yang berlaku semasa forum "Nothing To Hide 2.0" di Shah Alam, Selangor minggu lalu.

Menurut cerita yang didengari daripada golongan tua dalam keluarganya, sebelum dimajukan Dr Mahathir, Langkawi hanyalah sebuah kepulauan golongan nelayan.
Bapa pemodenan negara 

Bagi Aidil Azhar, 21, walaupun keadaan sudah berubah di mana Dr Mahathir kini merupakan pemimpin pembangkang, fakta tidak dapat diubah beliau merupakan bapa pemodenan negara.
"Siapa boleh nafikan jasa Dr Mahathir? Lihatlah KLCC, KLIA siapa yang buat semua itu?" soal Aidil yang kini bekerja di sebuah pusat membeli belah di Pantai Chenang.

Aidil berkata, setakat ini masih belum kelihatan pembangunan yang dilakukan Najib di "permata" bagi negeri Kedah itu.

Najib pada Sabtu, turun ke Langkawi untuk merasmikan mesyuarat Umno bahagian dan menghadiri program "Pemimpin Bersama Rakyat".

Pada hari sama Najib turut melancarkan dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) bernilai RM247 juta. Selain itu, Najib turut melancarkan Jeti Nelayan di Pulau Chenang bernilai RM9.16 juta.

Majlis itu juga menampilkan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah seperti kereta, motorsikal, basikal dan pelbagai barangan elektrik.

Dalam ucapannya semasa merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Langkawi dan di program "Pemimpin Bersama Rakyat", Najib mengingatkan agar rakyat tidak terikat dengan mana-mana individu.
"Perjuangan ini berjaya kerana kita ada apa? Kita ada kerajaan. Kerajaan tidak bergantung kepada individu," katanya

No comments