Buku Mengapa Mahathir ?

Terkini

Menunggu saat ‘feel-good’ untuk umum PRU

Oleh Timmy Say 

Barisan Nasional (BN) masih menunggu masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya umum ke 14, dan ini boleh dilihat melalui “resipi” kemenangan di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara resipi wajib ada yang menjamin kejayaan BN ketika di zaman Dr Mahathir ialah persempadanan semula, perpecahan pembangkang dan faktor “feel good” di kalangan rakyat.

Namun, ketiga-tiga resipi kini semakin tergelincir daripada tangan BN sejak pentadbiran Tun Abdullah Badawi.

Tanpa ketiga-ketiga resipi ini, BN kehilangan 2/3 majoriti di Parlimen pada 2008 dan tewas undi popular di 2013.

BN terus menghadapi PRU14 tanpa ketiga-tiga resipi ini, sudah tentunya keseluruhan kepimpinan BN akan terasa gelisah.

Oleh itu, dalam menghadapi PRU14, BN berusaha keras cuba mendapatkan kembali ketiga-tiga resipi ini. Namun setakat ini, ia belum berjaya.

Resipi pertama iaitu persempadanan semula, kini terhalang. Ini ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan Selangor untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan laporan persempadanan semula kepada perdana menteri.

Resipi kedua iaitu di mana BN mengharapkan pembangkang yang berpecah menemui cabaran baharu ekoran munculnya Dr Mahathir yang diangkat sebagai pengerusi Pakatan Harapan.
Resipi yang tinggal

Memandangkan resipi pertama dan kedua semakin susah dikembalikan, BN kini terpaksa mengharapkan resipi ketiga sahaja iaitu menjana perasaan “feel-good” di kalangan rakyat terhadap kerajaan.

Antara usaha yang jelas ke arah menyediakan resipi ketiga ini ialah tindakan perdana menteri mengumumkan ganjaran melebihi RM1 bilion kepada para peneroka Felda dan juga insentif kepada tentera, terutama kepada tak berpencen dan yang tergolong dalam kumpulan B40 baru-baru ini.

Di sebalik serangan pembangkang yang menyatakan bahawa Malaysia sedang menuju ke arah negara gagal, Gabenor Bank Negara Datuk Seri Muhammad Ibrahim mengumumkan ekonomi negara tumbuh melebihi jangkaan iaitu pada 5.8% pada suku kedua tahun ini dan melebihi pertumbuhan suku pertama sebanyak 5.6%.

Cuma apakah berita positif ini mampu membantu BN menjana perasaan “feel-good” di kalangan rakyat yang boleh menutup perasaan negatif rakyat yang timbul daripada berita-berita buruk mengenai 1MDB dan kenaikan kos sara hidup?

Peluang Sukan SEA yang tercemar

Sepatutnya Sukan SEA menjadi satu acara yang dapat membantu menjana perasaan “feel-good” di kalangan rakyat.

Namun, nasib nampaknya tidak menyebelahi BN. Acara pembukaan Sukan SEA yang dirancang dengan sebegitu cemerlang sekali dicemarkan dengan berita kecuaian memaparkan bendera negara Indonesia secara terbalik dalam buku cenderamata Pembukaan Rasmi Sukan SEA 2017.

Belum perkara itu reda, timbul sekali lagi insiden bendera terbalik yang melibatkan negara Brunei di atas papan skor digital.

Kedua-dua kecuaian tersebut menyebabkan nama Malaysia tercemar di media sosial terutamanya Twitter, hatta hancurnya perasaan “feel-good” yang diharap dapat dijana melalui acara Sukan Sea.
Nampaknya resipi ketiga ini kini perlu menanti pengumuman Bajet 2018.

Mampukah Bajet 2018 menjana perasaan “feel-good” yang diharapkan BN untuk menghadapi PRU14?

Apakah Bajet 2018 akan memperlihatkan kadar GST dipotong, kadar BR1M dinaikkan dan juga bajet kementerian dipulihkan sementara bajet pembangunan dikurangkan untuk menampung segala perbelanjaan dan janji pilihan raya?

Sekiranya Bajet 2018 gagal menjana perasaan “feel-good” yang diharapkan, apakah BN akan melihat semula apakah cara untuk mendapatkan resipi satu dan kedua semula sebelum mengadakan PRU14?

Sebenarnya, BN mempunyai masa hampir setahun lagi untuk mencari sekurang-kurangnya satu resipi ini sebelum PRU14. Banyak perkara lagi yang boleh terjadi dalam masa setahun ini.

Ataupun BN akan mengambil risiko menghadapi PRU14 tanpa ketiga-tiga resipi ini sepertimana yang berlaku di 2008 dan 2013, dan bersedia menanggung akibatnya?

Semua ini bergantung kepada tahap kecemasan dan kegelisahan di dalam BN. Yang cemas akan lemas, yang tenang akan menang.























No comments